Kerajaan bersedia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu, UEC jika pihak berkepentingan sanggup mengikut syarat-syarat kerajaan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata sijil tersebut harus seiring dengan dasar dan falsafah pendidikan nasional.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan Persidangan Pan-Komanwel ke lapan di ibu kota, pada Isnin, berkata, antara syarat yang harus diturut adalah penyelarasan kertas Bahasa Malaysia dan Sejarah dalam peperiksaan tersebut.

Jelasnya isu tersebut sudah banyak kali dibicarakan dan kerajaan telah menyatakan persetujuan bersyarat namun masih belum dituruti oleh pihak berkenaan.


"Isu ini pernah saya katakan dahulu dan saya dah ulang banyak kali bahawa ianya tentang penyelarasan subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah. Kalau ianya dapat diselaraskan dengan SPM, tiada sebab untuk kerajaan tidak terima.

"Saya sudah nyatakan pendirian ini banyak kali dan ia tidak berubah kerana itu adalah falsafah pendidikan negara. Kita tidak boleh lari dari perkara itu dan saya tidak nampak ada masalah sangat sebenarnya.

"Apa yang membuatkan mereka begitu susah untuk mengikuti syarat yang diberikan. Mereka boleh memperkenalkan subjek baru dan lebih tetapi silibus asas seperti Bahasa Malaysia dan Sejarah harus ada," katanya.

UEC diperkenalkan pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zhong, sebagai sebahagian syarat kemasukan Universiti Selangor, UNISEL.

Ia mencetus kontroversi apabila Dong Zhong meminta UEC diiktiraf sebagai syarat kemasukan ke universiti awam menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi penuntunya.

Kerajaan telah memutuskan untuk tidak mengiktiraf UEC pada tahun lalu namun parti komponen Barisan Nasional, MCA masih mahu memperjuangkan pengiktirafan sijil ini.