Udang galah RM1 seekor jadi rebutan

Sinar Harian
Julai 24, 2018 10:57 MYT
Abd Halim menunjukkan udang galah RM1 seekor yang menjadi buruan pelanggan. -Foto Sinar Harian
Meskipun sudah dimaklumkan kedai borong menjual ikan dan udang di Pekan Benut hanya akan dibuka jam 5 pagi, namun orang ramai sanggup beratur sejam lebih awal demi mendapatkan udang galah RM1 seekor.
Penangan tular udang galah RM1 seekor sejak semalam di media sosial membuatkan 600 ekor udang galah yang dijual pemilik kedai, Hamid Ali, 60, licin tidak sampai sejam.
Mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa yang diberikan itu, Hamid berjanji mengadakan jualan udang galah RM1 seekor pada esok (Rabu) memandangkan ramai pelanggan yang tidak dapat membelinya kerana bekalan sudah habis.
Hamid berkata, dia bersama anaknya, Abd Halim, 34, merupakan pemborong di Pasar Borong Taman Kota Murni Batu Pahat sering mendapatkan bekalan ikan dan udang segar dari Besut, Kemaman, dan Kuantan setiap hari.
Katanya, bekalan udang galah pula biasanya diperoleh dari pembekal di Kota Tinggi, Johor.
“Walaupun berniaga di Batu Pahat tetapi saya berasal dari Kampung Parit Abdul Rahman, Benut.
“Ramai saudara mara mengeluh sebab susah nak dapatkan ikan pada harga borong. Jadi saya terpanggil untuk bantu orang di sini, tambahan pula sekarang ini harga ikan melambung. Insya-Allah, harga ikan yang ditawarkan lebih berpatutan sebab dijual secara borong,” katanya.
Hamid turut berhasrat untuk membuka sebuah lagi kedai borong di bandar Pontian memandangkan ada permintaan agar beliau melebarkan perniagaannya itu di sana.
“Buat masa sekarang belum dapat lagi tapak yang sesuai. Kalau boleh saya mahukan tapak perniagaan yang mempunyai tempat letak kereta untuk kemudahan pelanggan.
“Jika sudah temui tapak yang sesuai, memang saya akan buka kedai borong jual ikan dan udang di bandar Pontian,” katanya.
#Hamid Ali #Pasar Borong Taman Kota Murni Batu Pahat #Pekan Benut #RM1 seekor #udang galah
;