UDA serah 300 buah rumah kepada penduduk Tanjung Tokong - Wan Junaidi
Astro Awani
Februari 7, 2021 20:00 MYT
Februari 7, 2021 20:00 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 300 penduduk penempatan semula Tanjung Tokong Fasa 4A, Pulau Pinang akan berpindah ke rumah baharu yang diberikan percuma oleh UDA Holdings Berhad (UDA) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Menterinya, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses pemindahan ini harus dilakukan dengan segera agar penduduk dapat mendiami kediaman yang lebih selesa dan selamat khususnya di waktu pandemik ini.
"Keadaan rumah yang didiami sekarang oleh penduduk yang terlibat pun sudah usang, maka sepatutnya mereka pindah ke rumah baharu dengan kadar segera.
"Di dalam mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga meminta untuk dipercepatkan pemindahan ini pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan khususnya pada waktu mencabar ini.
"Projek penempatan semula masyarakat sekitar Tanjung Tokong yang diterajui UDA sejak 1972 ini dilihat sebagai satu usaha yang membanggakan dalam membantu masyarakat khususnya golongan Bumiputera di Tanjung Tokong untuk memiliki kediaman lebih teratur dan selesa terutama sekali di tengah bandar Pulau Pinang di mana nilai hartanahnya sangat tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang mula dibangunkan pada 27 Oktober 2014 adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA dalam membangunkan bandar serta menyediakan penempatan semula bagi masyarakat Bumiputera di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Katanya, sejak 1972, UDA telah menggalas tanggungjawab melaksanakan pembangunan semula dengan membina sebanyak 8,023 unit secara berfasa dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,455 telah siap dibina.
Dalam pada itu Wan Junaidi menjelaskan, harga hartanah di Pulau Pinang memang di luar kemampuan masyarakat Bumiputera.
"Secara kasar, harga pasaran seunit Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A ini bernilai sekitar RM400,000," ujarnya.
Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang dibangunkan oleh UDA Land (North) Sdn Bhd, anak syarikat UDA, merupakan pangsapuri tiga bilik dengan dua jenis keluasan iaitu 850 dan 800 kaki persegi.
Terdapat lima buah blok pangsapuri enam tingkat dengan jumlah keseluruhan 210 unit (850 kaki persegi) dan lima buah blok pangsapuri sembilan tingkat berjumlah 340 unit rumah (800 kaki persegi) di lokasi strategik dengan pelbagai kemudahan di sekitarnya.
Pembangunan yang terletak di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang itu dibina atas tanah berkeluasan 8.0 ekar menelan belanja sebanyak RM84 juta.
Dalam pada itu, Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, mereka dalam proses penyerahan kunci rumah baharu kepada penduduk Tanjung Tokong Fasa 4A yang terbabit.
"Sebelum menerima kediaman tetap ini, penduduk mendiami penempatan sementara rumah panjang yang disediakan oleh UDA.
"Kawasan tersebut lebih padat berbanding rumah baharu pangsapuri ini, jadi pihak kerajaan berharap usaha ini dapat meringankan beban mereka dalam mendepani waktu mencabar ini," katanya.
Tambah Jalaluddin, usaha itu juga secara tidak langsung dapat membantu mengekang penularan pandemik dan membantu negara menangani kes yang meningkat saban hari.
"Projek yang menjadi kebanggaan UDA di wilayah utara ini selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang berteraskan iltizam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan serta menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat menuju 2030," katanya.