SIBU:Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) mengorak langkah dalam strateginya bagi memperoleh status universiti penuh menjelang akhir tahun ini.

Institut pengajian yang ditubuhkan di Sibu pada 2013 ini akan dikenali dengan nama baharu iaitu Universiti Teknologi Sarawak.

Menurut Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Khairuddin AB Hamid, institut ini berperanan khusus untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam Pembangunan Serantau Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Untuk melonjakkan hab kecemerlangan pendidikan ini, pihak kita memberi fokus kepada beberapa bidang.

“Yang pertama adalah bidang drone yang dilihat begitu penting ketika ini. Kita telah mendapat kerjasama dari sebuah industri berkenaan yang berpengkalan di Taiwan dan mereka telah memberi satu makmal lengkap kepada kita.

“Jadi, melihat kepada demografi di kawasan Sibu, bidang ini dapat diguna pakai untuk usaha pemetaan, khasnya bagi sektor perladangan,” ujarnya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI.


Tambah beliau, kelebihan yang dimiliki oleh UCTS akan diguna sebaik mungkin untuk memacu hala tujunya yang tersendiri.

Ini termasuk menggunakan kepakarannya dalam bidang pemuliharaan bangunan warisan serta sains dan teknologi yang berupaya untuk membantu masyarakat luar bandar.

“Kita memilih bidang lestari terutamanya yang melibatkan alam sekitar.

“Jadi, kita ada bidang kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti serta bidang pemuliharaan,” katanya.


Jelas Khairuddin lagi, UCTS turut dilengkapi pusat penyelidikan cemerlang merangkumi pelbagai bidang berkaitan demi pembangunan Sarawak.

Antaranya pusat penyelidikan dalam bidang pemprosesan perkayuan dan teknologi serta makmal teknologi makanan.


Justeru, kelebihan yang ada akan dimanfaatkan sebaiknya untuk menjayakan agenda SCORE yang nyata memberi kelebihan kepada bandar Sibu.

“Saya punya harapan untuk mendirikan sebuah pintar atau Smart Home di kampus ini, dan seterusnya jadikan kampus ini sebagai Kampus Pintar (Smart Campus).

“Tetapi misi utama, semestinya menjadikan bandar Sibu sebagai model Bandar Pintar di kawasan utara Sarawak ini,” kongsi Khairuddin.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual khas Agenda AWANI di UCTS, Sibu baru-baru ini.