Ucapan selamat tinggal itu sukar - Pengajar ETA
Bernama
Oktober 14, 2019 07:42 MYT
Oktober 14, 2019 07:42 MYT
Ketika Ana Camila Bailey tiba di Pahang untuk menjadi pengajar menerusi program Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA), beliau yakin tugasnya mudah dan akan pulang ke Virginia, Amerika Syarikat (AS) selepas setahun.
Namun selepas menghabiskan kebanyakan masa bersama pelajarnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setiawangsa di Kuala Lipis, dekat sini, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka menjadi suatu yang paling sukar baginya.
Bailey, 23, berkata kelas terakhirnya dengan pelajar berkenaan pada 24 Okt ini dan bagi mengisi hari-hari terakhirnya, beliau dan pelajarnya meluangkan masa 'lepak' bersama di restoran KFC di pekan Lipis.
"Saya sangat berbangga dengan perkembangan hebat mereka... ketika pertama kali bertemu, ramai daripada mereka sangat malu untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bukan mereka tidak pandai, tetapi kerana kurang menuturkannya.
"Saya berswafoto ketika mula berkenalan dengan mereka. Ia sangat membantu dan mereka teruja serta mula berkomunikasi dengan saya," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada majlis Pahang Fulbright English Teaching Assistant Showcase 2019 di sini, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mencemar duli ke pameran itu.
Bailey berkata beliau terpaksa mencuba pelbagai cara yang menarik dan kreatif bagi meraih penglibatan pelajar dan akhirnya mendapati cara yang lebih mudah apabila meminta mereka mengajarnya Bahasa Malaysia yang mudah.
"Ia menjadi komunikasi dua hala. Daripada ayat yang mudah saya mula memperkenalkan beberapa perkataan yang lebih sukar. Mereka sangat teruja untuk mempelajarinya dan kesungguhan mereka itu memberi dorongan kepada saya. Sekarang ini mereka lebih yakin untuk memulakan perbualan (dalam Bahasa Inggeris) dengan saya," katanya.
Beliau juga berterima kasih dengan teknologi terkini memudahkannya untuk lebih berhubung dengan para pelajarnya meskipun beliau berada jauh beribu batu daripada mereka apabila mereka kini mengikutinya di laman sosial Instagram.
Ketika menghabiskan masa berbulan di Lipis, Bailey berkata beliau mula menyukai makanan tradisi tempatan terutamanya nasi lemak, ikan patin masak tempoyak dan sambal hitam yang terkenal di Lipis.
"Saya masih 'tak tahan' dengan kepedasannya tetapi rasanya yang enak sukar untuk ditolak. Kebiasaannya saya mengalirkan air mata ketika makan sambal hitam, tapi itu tidak membuatkan saya berhenti untuk makan lebih lagi," katanya.
Sementara itu, Zachary Gordon, 23, tersenyum lebar ketika mengimbas kembali bagaimana ada di antara pelajarnya di SMK Pekan, dekat sini yang akan melarikan diri apabila bertemu dengannya di sekolah, semata-mata untuk mengelak bercakap dalam Bahasa Inggeris.
"Saya terpaksa membuat aksi lucu dengan mereka. Saya melompat, menari dan menyanyi di hadapan mereka untuk membuktikan Bahasa Inggeris adalah menyeronokkan dan tidak perlu untuk rasa sempurna menggunakannya. Ia mungkin bahasa ibunda saya tetapi saya juga masih belajar dan tidak mengapa jika mereka membuat silap," katanya.
Seorang daripada pelajarnya yang juga dari kalangan Orang Asli, Farida Chick, 16, mengaku dia berasa pelik pada mulanya apabila 'orang putih' berambut perang itu berada dalam kelas dan sukar memahami loghat Gordon.
"Sangat susah, sebab pada pendengaran saya, beliau bercakap terlalu pantas. Kebiasaannya saya akan minta Sir Zach (Gordon) mengulang semula ayatnya beberapa kali... tapi selepas beberapa lama, saya kini semakin memahami apa yang ingin beliau sampaikan dan kini lebih yakin untuk menggunakan Bahasa Inggeris," katanya.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#Ana Camila Bailey
#bahasa Inggeris
#English
#English Teaching Assistant
#guru
#Instagram
#makanan tradisi
#Malaysia
#Orang Asli
#Pahang
#Pahang Fulbright ETA
#pelajar
#Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris
#sekolah
#teknologi
#Yang di-Pertuan Agong