Ubur-ubur api terdampar di Terengganu bukan dari perairan tempatan
Sinar Harian
Januari 17, 2025 13:00 MYT
Januari 17, 2025 13:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Orang ramai yang melakukan aktiviti di kawasan pantai dinasihatkan supaya berwaspada berikutan penemuan ubur-ubur beracun dikenali ubur-ubur api atau Portuguese Man of War di beberapa pantai di Terengganu sejak beberapa hari lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, hidupan laut tersebut mempunyai sengatan berbisa dan boleh mendatangkan kesan kecederaan teruk serta berbahaya.
"Beberapa hari lepas kita menerima laporan mengenai penemuan ubur-ubur itu di beberapa pantai di Terengganu termasuk Pantai Benting Lintang, Besut; Pantai Rhu Sepuluh, Setiu; Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus dan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu selain Pulau Redang.
"Jadi kita menasihatkan supaya pengunjung yang melakukan aktiviti di kawasan pantai supaya berhati-hati dengan kehadiran ubur-ubur ini.
"Elakkan menyentuh hidupan tersebut dan segera melaporkan kepada Jabatan Perikanan Terengganu sekiranya menemuinya kerana ia masih beracun dan sangat berbahaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kebiasaannya kejadian penemuan ubur-ubur itu berulang setiap kali berlaku Monsun Timur Laut.
"Spesies ini bukan berasal dari lautan kita tetapi ia banyak berada di Lautan Atlantik dan Lautan Hindi.
"Ia disebabkan dibawa arus deras semasa musim tengkujuh menyebabkan kehadiran ubur-ubur beracun terdampar di perairan Terengganu," jelas beliau.
Sehubungan itu, Ruzaidi mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berada di kawasan pantai ketika ini.
"Jika ada individu yang terkena sengatan ubur-ubur itu diminta segera mendapatkan rawatan di klinik serta melaporkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut," ujar beliau. - Sinar Harian