Ubi telampong, sajian tradisi yang semakin dilupakan

Sinar Harian
Mac 21, 2018 13:57 MYT
Abdul Mutalib mengisi ubi telampong dengan manisan sebelum dimakan. -Foto Sinarharian.com
Penduduk di Kampung Telok Mukim Binjal di sini masih mengekalkan makanan tradisi yang dikenali sebagai ubi telampong.
Uniknya ubi ini perlu dimasak bersama air tebu selama lapan jam dan hanya dimasak pada musim kemarau.
Ahli JKKK itu, Zakaria Salleh, 62 tahun, berkata makanan itu adalah warisan nenek moyang dahulu.
“Kalau kita tak sambung warisan ni, orang muda takkan tau... sekarang ni sebut telampong pun ramai orang muda tak tau benda apa,” katanya ketika ditemui semalam.
Zakaria berkata, dua bahan utama dalam masakan ini adalah ubi kayu dan air tebu.
“Ubi kayu ni kita isi dalam jut (raga) yang dah dianyam guna kulit kayu bemban... setiap jut tu kita isi sekitar dua kilogram ubi bergantung kepada saiz jut.
“Cara nak masak, mula-mula kena mesin air tebu, dan masukkan dalam kawah dulu. Kemudian masukkan ubi kayu, dan baru kita hidupkan api,” katanya.
Katanya, ubi perlu dimasak selama lapan jam sehingga air tebu berkenaan menjadi manisan.
“Setiap kawah kita guna kira-kira 70 liter air tebu, jadi sepanjang masak tu kita akan tambah air tebu secara berkala sampai habis.
“Bila cukup lapan jam, ubi kayu pun akan masak dengan sendirinya,” katanya.
Menurutnya, selain ubi, manisan yang terhasil dari air tebu berkenaan juga boleh dimakan.
“Manisan tu boleh buat cendol, boleh makan dengan kuih, boleh makan dengan ketupat, macam madu la, cuma ni manisan tebu.
“Nak buat air pun boleh, campur sikit dengan air kosong, memang sedap, bau pun wangi,” katanya.
Menurutnya, mereka juga masih mengekalkan tradisi memasak menggunakan kedohoq (lubang memasak) dan kayu api.
“Kita tak guna dapur gas, ni yang uniknya, jadi rasa dia pun lain dan lebih sedap,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK, Abdul Mutalib Abas, 64 tahun, berkata mereka akan mengekalkan makanan tradisi ini sampai bila-bila.
“Makanan ini unik, kalau orang luar mai makan, depa pun pelik, sebab tak pernah makan dan tak pernah dengar.
“Setahu saya, pada awalnya orang dulu-dulu masak ubi ni sebab nak dapat manisan tu saja, sebab dulu susah nak dapat gula proses macam kita la ni," katanya.
#Jitra #JKKK #Kampung Telok Mukim Binjal #makanan tradisi #musim kemarau #Ubi #ubi telampong #Zakaria Salleh
;