Ubi laris pada musim tengkujuh
Bernama
November 30, 2023 07:30 MYT
November 30, 2023 07:30 MYT
BACHOK: Musim tengkujuh memberi rezeki kepada Mat Ariffin Yazid, 53, apabila ubi kayu, ubi badak dan ubi itik yang ditanamnya di Kampung Sri Sentosa di sini laris dijual.
Mat Ariffin yang bekerja sebagai tukang rumah berkata hujan menyebabkan dia tidak dapat bekerja seperti biasa lalu mendorongnya menjual ubi berkenaan bagi mencari pendapatan lain.
Menurut Mat Ariffin, sejak 20 tahun lepas dia mengusahakan tanaman ubi berkenaan di kawasan seluas 0.4 hektar berdekatan rumah dan menjualnya setiap tahun.
"Biasanya jualan habis setiap hari kerana kesemua ubi ini merupakan makanan pilihan orang ramai pada musim banjir.
"Saya tidak kisah berhujan atau berendam air kerana ia sudah jadi 'asam garam' berniaga pada musim tengkujuh, asal saya dapat mencari rezeki," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.
Mat Ariffin berkata biasanya dia mula menggali tanaman ubi badak dan ubi itik lebih awal iaitu pada November kerana ubi berkenaan mampu disimpan lama berbanding ubi kayu yang perlu digali setiap hari kerana cepat rosak dan kurang sedap dimakan jika disimpan melebihi dua hari.
Bapa kepada empat anak itu berkata dia mampu menjual kira-kira 80 kilogram ubi sehari dengan ubi kayu pada harga RM3 sekilogram manakala ubi itik dan ubi badak RM6 sekilogram.
Menurut Mat Ariffin dia agak beruntung kerana kawasan tanamannya bebas daripada banjir sekali gus tidak berdepan masalah kerosakan ubi sepertimana dihadapi penanam lain.
Ubi katanya akan rosak jika ditenggelami air melebihi lima hari sedangkan untuk mendapat hasil, ia perlu ditanam dalam tempoh hingga enam bulan.
-- BERNAMA