Uber Car gambarkan pengguna mahukan teksi tanpa lesen

Tan Su Lin
Oktober 8, 2015 05:18 MYT
SYED HAMID: Sesiapa pun boleh membuat pungutan suara kerana ini adalah sebuah negara bebas. - File pic
Langkah mengiktiraf perkhidmatan Uber Car seolah-olah memberi gambaran bahawa pengguna mahukan perkhidmatan teksi yang tidak berlesen.
Menurut Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, walaupun Malaysia sebuah negara bebas, namun ia tidak bermakna, ia akan membenarkan penggunaan kereta persendirian untuk digunakan sebagai teksi.
"Sesiapa pun boleh membuat pungutan suara kerana ini adalah sebuah negara bebas tetapi, adakah mereka membuat pungutan itu bukan hanya untuk Uber tetapi meminta supaya kenderaan persendirian digunakan sebagai teksi?
"Adakah ini bermakna, kita hendak beralih kepada rejim yang membenarkan teksi dikendalikan tanpa lesen? Bagaimana jika berlaku kemalangan? Adakah ini yang diperlukan oleh orang ramai?" soalnya pada sidang media selepas meninjau Stesen LRT Awan Besar, di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai pungutan suara secara atas talian "Save Uber Malaysia" yang bertujuan mengekalkan perkhidmatan Uber di negara ini.
Pungutan suara itu juga antara lain mendesak kerajaan mencari jalan bagi mengawal selia perkhidmatan berkenaan sebagai satu alternatif kepada perkhidmatan teksi.
Syed Hamid turut mengingatkan orang ramai bahawa Uber dikendalikan sebuah syarikat pemilikan asing yang turut berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan pelesenan di banyak negara.
#kereta persendirian #lesen #Syed Hamid Albar #teksi #Uber Car