Ubat tidak berdaftar: 2,600 laman web disekat, nilai rampasan RM2.2 juta - KP Kesihatan
Afiezy Azaman
Jun 13, 2021 10:35 MYT
Jun 13, 2021 10:35 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,600 laman sesawang disekat dan puluhan ribu ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM2.2 juta dirampas dalam Operasi Pangea XIV di Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, operasi dijalankan pada 18 hingga 25 Mei itu memberi tumpuan kepada penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahguna untuk tujuan rawatan COVID-19.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Pos Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.
"Penjual tidak bertanggunjawab mengambil peluang mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan untuk wabak COVID-19.
"Ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan COVID-19 seperti pelitup muka, termometer, sarung tangan, gaun pembedahan, kit ujian COVID-19, penyedut hidung dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan bayak dijual dalam talian.
"Selain itu, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 972 bungkusan pos telah diperiksa dan 157 bungkusan pos didapati mengandungi 9,155 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar bernilai RM108,352.
Jelasnya berbanding Operasi Pangea tahun lalu, 60 peratus produk dirampas tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952.
"18 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik manakala selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM.
Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.
Tambah beliau, sebanyak 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM42,213.
Ini ditambah dengan aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian.
"Semasa operasi kali ini, 94 premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar telah diserbu.
"Dalam serbuan tersebut, 61,864 unit produk farmaseutikal dengan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 2.07 juta," katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata, sebanyak 206 kempen kesedaran pengguna telah diadakan sepanjang tempoh Operasi Pangea XIV bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pembelian ubat dalam talian yang selamat.
"Pendidikan mengenai penjualan peranti perubatan untuk COVID-19 turut diadakan di farmasi-farmasi komuniti untuk memberikan penerangan mengenai peranti perubatan dan syarat untuk pendaftaran peranti perubatan.
KKM masih lagi meneruskan pemantauan di laman sesawang dan media sosial serta mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal dan peranti perubatan dalam talian walaupun setelah Operasi Pangea berakhir.
Selain itu Dr Noor Hisham berkata, orang ramai perlu memastikan produk kesihatan yang dijual sama ada di atas talian ataupun di premis mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk sebelum membeli produk tersebut.
"Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status”.
"Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut," jelasnya.
#Noor Hisham Abdullah
#MCMC
#KKM
#Interpol
#media sosial
#COVID-19
#pelitup muka
#kastam
#Operasi Pangea XIV