Ubat, kosmetik tidak berdaftar bernilai lebih RM250,000 dirampas di Kelantan

Muhafandi Muhamad
Jun 9, 2016 18:03 MYT
Jelas Ahmad Razin, ubat dan kosmetik tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan boleh mengundang pelbagai risiko.
Sejumlah ubat tidak berdaftar dan kosmetik yang di jual secara dalam talian bernilai lebih RM250,000 dirampas oleh Unit Penguatkuasa Farmasi Kelantan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, rampasan keseluruhan barangan melibatkan 106 ubat tidak berdaftar serta 20 jenis kosmetik tidak bernotifikasi berjumlah RM263,881.
Serbuan dan rampasan ke atas lapan syarikat yang menjalankan perniagaan secara dalam talian itu dilakukan setelah intipan dan pengawasan Unit Farmasi Kelantan sejak dua minggu lalu ke atas lebih 33 laman web yang menawarkan pelbagai jualan produk kecantikan.
“Kita menasihatkan orang ramai agar berhati-hati membeli produk kosmetik dan ubatan kerana ubat tidak berdaftar mempunyai bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan,” ujarnya.
Ahmad Razin kemudiannya menunjukkan contoh, ubat yang mengandungi steroid dan sibutramine yang boleh memberi komplikasi kepada pengguna jika diguna tanpa pengawasan doktor.
Menurut Dr Ahmad Razin lagi, syarikat yang menggunakan laman sosial termasuk Instagram, Facebook dan laman web dengan menjual produk mereka tanpa kelulusan dari Lembaga Iklan Ubat berdepan dengan kesalahan di bawah Akta Ubat 1956.
Selain itu, mereka yang menjual produk kosmetik dan ubatan tidak bernotifikasi dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) A Peraturan 18(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Bagi kesalahan tersebut, seseorang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
Tambah Ahmad Razin, ubat dan kosmetik tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan boleh mengundang pelbagai risiko kerana kandungan yang digunakan mempunyai racun dan bahan yang dilarang.
Jelasnya, sehingga kini hanya seorang pengamal perubatan berdepan dengan tindakan penarikan amalan kedoktoran kerana menawarkan suntikan kecantikan di kliniknya.
#Ahmad Razin Ahmad Maher #kosmetik tidak berdaftar #perniagaan atas talian #rampasan ubat #serbuan #Unit Farmasi Kelantan
;