Ubat antiviral terkini akan diberi kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi - KJ
Umavathi Ramayah
Februari 7, 2022 19:13 MYT
Februari 7, 2022 19:13 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantapkan COVID-19 Clinical Care Pathway bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, ubat antiviral itu akan diberikan kepada pesakit COVID-19 pada peringkat awal iaitu semasa mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.
Beliau menjelaskan, rawatan itu akan meliputi pesakit di Klinik Kesihatan, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan hospital bagi pesakit yang dimasukkan ke wad.
Justeru itu katanya, rawatan akan dimulakan setelah bekalan ubat antiviral tersebut tersedia.
Mengenai pemberian dos penggalak, Khairy berkata sehingga kini terdapat lebih kurang 32 peratus atau sejuta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak mereka.
“Risiko jangkitan COVID-19 yang teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas. Daripada 32,034 kematian sehingga 6 Februari lalu sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus melibatkan warga emas,” tambahnya lagi.
Menurut Khairy, data harian juga menunjukkan individu yang belum divaksin adalah sembilan kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan kematian akibat COVID-19 berbanding individu yang telah lengkap divaksin atau telah mengambil dos penggalak.
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan kes COVID-19 buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, meskipun negara kini berdepan ancaman varian Omicron yang lebih memudahkan merebak.
Menurutnya, ia sebahagian besarnya disumbang oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi.
“Atas langkah proaktif KKM, kita berjaya ‘memperlahankan’ ketibaan varian Omicron. Kawalan sempadan seperti penangguhan umrah (sebelum ini) merupakan langkah memperlahankan gelombang Omicron,” katanya.
Hari ini sahaja Malaysia merekodkan 11,034 kes dan kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 adalah pada 2 Oktober lalu iaitu 10,915 kes.