Ubah strategi, 90 lagi kontena dari Malaysia akan melalui Jordan ke utara Gaza

Afiezy Azaman
Oktober 12, 2024 11:00 MYT
Sani Araby menerangkan mengenai strategi Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza yang terpaksa diubah susulan tindakan Israel merampas pintu sempadan Rafah pada Mei lalu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Strategi Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza terpaksa diubah susulan tindakan rejim Zionis Israel yang merampas pintu sempadan Rafah di Gaza, pada Mei lalu.
Menurut ketua misi Dr Sani Araby Abdul Alim, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai badan kemanusiaan dunia termasuk World Food Program (WFP) untuk memulakan fasa kedua kemasukan bantuan melalui jalan darat dari Jordan ke utara Gaza.
"Dalam sedikit masa lagi kita akan dapat ikut perkembangan terkini berkenaan fasa kedua, di mana kita akan masukkan 40 baki kontena lagi, sebelum kemasukan seterusnya pada fasa ketiga.
"Kita juga mengharapkan misi ini akan dapat diselesaikan sebelum berakhirnya tahun 2024," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.
Pada Jumaat, Sani Araby memaklumkan sebanyak 10 kontena Malaysia yang membawa makanan dan barang keperluan berjaya memasuki Gaza dan diagihkan kepada penduduk di sekitar Dir El Balah serta Khan Younis.
Katanya, 10 kontena fasa pertama daripada 100 lagi kontena berjaya melepasi Rafah, Mesir dan Kareem Shalom secara berperingkat sejak September sehingga Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Sani Araby menjelaskan, kemasukan bantuan kemanusiaan seterusnya terpaksa dipindahkan berikutan Israel menawan pintu masuk Rafah dan kemasukan bantuan terpaksa melalui pemeriksaan ketat yang disengajakan oleh Zionis menyebabkan berlakunya kelewatan.
"Kita akan cuba mempercepatkan kemasukan bantuan tersebut kerana keadaan ketika ini sangat kritikal di Gaza dan perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan. Sebab itu kita terpaksa pindahkan kemasukan ke Jordan.
"Namun kami tidak akan mengalah dan optimis misi ini dapat diselesaikan dengan penglibatan semua pihak. Justeru, mesej saya kepada rakyat Malaysia adalah teruskan berdoa dan menyokong usaha yang kita gerakkan meliputi seluruh masyarakat dalam negara," katanya.
Tambahnya, misi yang membawa keseluruhan 1,740 tan bantuan ini akan memberi manfaat kepada sasaran 130,040 keluarga di Gaza.
Pada April lalu, Malaysia menghantar 100 kontena merangkumi 1,358 tan pelbagai barangan untuk disumbangkan menerusi misi bantuan berkenaan.
Misi bantuan itu diketuai oleh Mapim telah disempurnakan pelancarannya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
#bantuan kemanusiaan #Gaza #kontena Malaysia ke Gaza #Sani Araby Abdul Alim
;