Ubah stigma terhadap graduan politeknik, kolej komuniti

Astro Awani
Jun 7, 2021 22:55 MYT
Majikan kini bukan sekadar melihat kelayakan akademik, namun keseimbangannya dengan kemahiran teknikal graduan. - Gambar hiasan/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Persepsi graduan politeknik dan kolej komuniti kelas kedua adalah pandangan lapuk, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran.
Beliau berkata, stigma itu wujud sejak sekian lama mungkin kerana 20 ke 30 tahun lalu majikan lebih gemar mengambil graduan yang cemerlang dalam akademik untuk bekerja, namun kini perkara itu sudah tidak relevan.
"Pada zaman globalisasi ini, keperluan majikan sudahpun berubah dan tidak melihat kelayakan akademik semata-mata untuk dijadikan syarat pengambilan pekerja.
"Selain kelayakan akademik, apa yang diharapkan majikan pada hari ini ialah kemampuan seseorang itu melaksanakan tugas ataupun tanggungjawab yang diberikan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sambil menegaskan kualiti graduan dihasilkan kedua-dua intitusi itu amat baik, Mohammad Shatar berkata, pihaknya sentiasa mengawal selia kualiti program semua intitusi pengajian tinggi (IPT) secara berkala.
Beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang mengenai isu kebolehpasaran sekiranya anak mereka mengikuti pengajian di dua IPT berkenaan kerana tahapnya melebihi 90 peratus saban tahun.
Dalam konteks hari ini, katanya, kualiti pembelajaran yang diberikan kepada graduan adalah sama tidak kira sama ada di universiti, politeknik atau kolej komuniti.
“Mereka menawarkan program berdasarkan keperluan industri serta niche masing-masing dalam konteks pasaran kerja dan kerjaya yang amat luas.
"Kualiti pendidikan di IPT tempatan sentiasa berada pada tahap yang maksimum kerana MQA tidak akan sekali-kali berkompromi dalam aspek kualiti terhadap semua IPT termasuklah politeknik dan kolej komuniti," katanya.
Mohammad Shatar berkata, majikan kini bukan sekadar melihat kelayakan akademik, namun keseimbangannya dengan kemahiran teknikal graduan.
Bagi pihak industri, katanya, kecemerlangan tidak tertumpu kepada akademik sahaja, tetapi apa yang lebih penting ialah sejauh mana kemampuan graduan mempamerkan kemahiran insaniah mereka seperti berkomunikasi, kepemimpinan, menyelesaikan masalah dan bekerja dalam kumpulan selain aspek disiplin dan etika.
"Peluang kerjaya bagi graduan berkemahiran di negara ini juga tinggi kerana kadar guna tenaga yang memiliki kemahiran ini masih pada tahap rendah berbanding penggunaan tenaga kerja di negara maju yang memerlukan lebih 60 peratus pekerja berkemahiran.
“Mereka juga berpeluang untuk menjadi usahawan atau membina kerjaya di luar negara kerana status akreditasi program yang diikuti akan memudahcara perkara tersebut. " katanya.
#usahawan #pendidikan #politeknik #kolej komuniti #kelas kedua #pandangan lapuk #MQA #Mohammad Shatar Sabran
;