Ubah stigma 'belia malas' - Syed Saddiq
Madiha Abdullah
November 9, 2019 16:31 MYT
November 9, 2019 16:31 MYT
Belia mempunyai tanggungjawab untuk mengubah stigma masyarakat berkaitan 'belia malas'.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, belia di sektor korporat khususnya perlu menukar segala bentuk persepsi negatif yang membelenggu, dengan cara mentransformasi fikiran dan cara kerja.
"Tugas kita untuk membuktikan kepada mereka di luar sana yang belia rajin, tidak malas, sanggup bekerja keras jika diberi kesempatan dan berani berfikiran luar kotak.
"Betul tidak semua yang kita usahakan akan berjaya. Saya sendiri, kadang-kadang hanya 30 atau 40 peratus sahaja idea saya diterima dan berjaya tetapi yang penting saya lakukannya.
"Jika kita berjaya mengubah pemikiran mereka, mereka tentu akan nampak yang belia bukan sahaja pemimpin masa depan tetapi juga sekarang," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Syed Saddiq berkata kesedaran politik dalam amalan demokrasi bermakna keterbukaan dan kesediaan untuk menerima pandangan setiap anggota masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta selepas menyampaikan ucaptama pembukaan Youth Economic Forum di ibu negara, pada Sabtu.
Forum sehari itu bertemakan Ripples: Youth In The Driver's Seat dan dianjurkan oleh Perdana Fellowship untuk kali keempat.