Ubah sikap, mentaliti kalau mahu TN50 berjaya - KJ

Harits Asyraf Hasnan
Februari 4, 2017 21:55 MYT
Khairy menegaskan sikap dan mentaliti merupakan faktor penentu kejayaan kepada agenda TN50 yang giat direncanakan pada ketika ini. - fotoBERNAMA
Sikap dan mentaliti rakyat Malaysia perlu diubah dalam memastikan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) berjaya dilaksanakan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, itu merupakan faktor penentu kejayaan kepada agenda yang giat direncanakan pada ketika ini.
"Kebimbangan terbesar saya menjelang tahun 2050 nanti bukan membabitkan halangan kuantitatif seperti bidang pendidikan atau melahirkan pemenang Anugerah Nobel pertama kerana kita boleh melabur dalam perkara ini.
"Sebaliknya, kebimbangan dan halangan terbesar kita adalah sama ada rakyat Malaysia boleh mengubah sikap dan mentaliti.
"Saya tidak tahu bagaimana mahu mengajar rakyat untuk mengubah perkara ini, sedangkan sikap dan mentaliti adalah penanda aras ketamadunan," katanya ketika berucap semasa menutup Sidang Kemuncak Kepimpinan dan Aspirasi Nasional (NALS) 2017 di sini, hari ini.
BACA: Jangan politikkan TN50 - Najib
TONTON: Dialog Pemikir Negara: #TN50: Membina masa depan bersama
Tambahnya, perbincangan yang dilaksanakan pada ketika ini hanya melibatkan golongan muda dan beberapa siri melibatkan kumpulan sasar yang lebih kecil.
"Ini baru orang muda tapi belum lagi kita berbincang dengan pakar-pakar dan sebagainya.
"Saya yakin bahawa proses dari bawah ke atas (rakyat kepada pemimpin) akan menghasilkan banyak idea untuk mencorakkan masa depan," katanya.
Kira-kira 2,700 mahasiswa dari dalam dan luar negara berhimpun pada persidangan sehari itu yang bertujuan mencetus dan membincangkan pelbagai idea untuk direalisasikan kerajaan.
#agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) #Belia #golongan muda #Malaysia #mentaliti #sikap
;