'Ubah persepsi pendidikan TVET pengajian kelas kedua'
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Oktober 27, 2021 12:55 MYT
Oktober 27, 2021 12:55 MYT
KEMAMAN: Kerajaan diminta mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang dilabel sebagai pengajian kelas kedua untuk mereka yang kurang cemerlang.
Bajet 2022 yang bakal dibentangkan 29 Oktober depan wajar mengambil kira kemampuan golongan belia di negara ini dalam sektor 3D iaitu "dirty, difficult and dangerous" berpendapatan tinggi terutama dalam sektor industri petroleum dan gas.
Bagi Rosdi Saari, 34, usaha perlu diperkasakan untuk menarik minat golongan muda serta membangunkan modal insan berkualiti dengan pengetahuan dan kemahiran terkini.
“Sebenarnya bagi saya pendedahan itu kurang, lagi satunya kos untuk mengambil bidang ni adalah mahal. Daripada segi pengetahuan untuk bidang ini hanya orang tertentu sahaja yang mengetahui.
“Cadangan saya untuk kerajaan supaya mengetengahkan program ni supaya memberi peluang kepada anak-anak muda dan seperti contoh sekarang ADTEC membuka pusat untuk latihan untuk anak-anak muda menceburi bidang ni,” katanya.
Menurut Badrul Mohd Jati, 34 tahun pelajar lepasan sekolah perlu didedahkan dengan peluang untuk membina pelbagai kerjaya berasaskan kemahiran.
“Dulu saya kerja dekat laut (oil and gas), masa bila ikut kapal dulu selalu tengok penyelam ini turun buat kerja daripada situ timbulnya minat.
“Tetapi apabila kerajaan buka peluang untuk sektor ini saya mohon dan terpilih. Daripada situ saya mula belajar kimpalan bawah air,” katanya.
Badrul turut berharap lebih banyak pusat-pusat latihan yang menawarkan program kemahiran seperti itu bagi membuka peluang kepada anak muda belajar untuk belajar di dalam negara tanpa perlu ke negara asing kerana sebelum ini mereka yang ingin belajar terpaksa pergi ke Australia.
Sementara itu, Mohd Hafizudin Noor Haslan, 33 tahun menyarankan agar generasi muda diberikan peluang untuk menguasai bidang kemahiran tinggi yang sesuai dengan kehendak pasaran.
Usaha berkenaan boleh direalisasikan dengan mewujudkan pusat latihan baharu serta menaiktaraf institusi latihan sedia ada .
“Mungkin kerajaan dapat bantu dengan memberi dana kerana kita tahu kos untuk program ini agak tinggi. Kebanyakan mereka sebelum ini terpaksa berkerja dan menyimpan wang sendiri. Apabila kerajaan membuka satu pusat latihan pertama dan mengeluarkan bajet kepada peserta-peserta seperti ADTEC ini, mereka dapat menggunakan tenaga mahir alumni mereka.
“Di masa akan datang kita harap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai jurukimpal bawah air tempatan," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata pihaknya sedang melaksanakan program bagi melahirkan generasi berkemahiran dan berpendapatan tinggi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga luar.