Ubah persepsi pemilikan rumah 'bertingkat tinggi' - PR1MA
Bernama
April 13, 2018 04:44 MYT
April 13, 2018 04:44 MYT
Rakyat di negara ini perlu mengubah persepsi terhadap pemilikan rumah 'bertingkat tinggi' seperti apartmen atau pangsapuri kerana rumah tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan dan keselesaan kepada mereka dengan harga yang berpatutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, berdasarkan kaji selidik, pihaknya mendapati pembeli masih ingin memiliki rumah kategori bertanah, walaupun rumah berkenaan lebih mahal dan sukar dibeli khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau berkata, di kawasan bandar, lebih banyak rumah pangsapuri dibangunkan disebabkan kekangan kawasan dan harga yang ditawarkan lebih murah daripada rumah bertanah.
"Saya ingin sarankan bakal pembeli rumah, terutama yang ingin tinggal di bandar supaya mengubah pemikiran kepada gaya hidup moden dengan menumpukan pemilikan berkonsep 'bertingkat tinggi' kerana kemudahannya lebih baik daripada dahulu.
"Memang kita mahu menawarkan rumah bertanah namun agar sukar dan perubahan pemikiran itu perlu dilakukan kerana kawasan pesat membangun seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka, rumah bertanah adalah mahal," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Ekspo Jualan Perumahan - Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera Edisi Melaka di sini, pada Jumaat.
Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Ismail Othman.
PR1MA ditubuhkan untuk membina rumah berkualiti tinggi bagi golongan berpendapatan sederhana dengan pendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan.
Abdul Mutalib berkata, sebanyak 20,420 unit perumahan membabitkan 19 projek dengan nilai pembangunan kasar RM5.1 bilion ditawarkan kepada pembeli di negeri itu melibatkan lokasi di A Famosa, Durian Tunggal, Klebang, Melaka Tengah dan Ayer Panas.
Menurutnya, setakat ini lebih 52,000 penduduk Melaka telah menjadi pendaftar dan lebih 22,000 daripadanya memilih kediaman PR1MA sebagai pilihan pertama mereka.
"Kita yakin jumlah pendaftar dari Melaka akan terus meningkat selepas kami melancarkan banyak lagi projek baharu pada depan," katanya.
-- BERNAMA
#Abdul Mutalib Alias
#apartmen
#bertingkat tinggi
#pangsapuri
#pembeli
#perumahan
#PR1MA
#rumah bertanah
#rumah mampu milik