Ubah persepsi masyarakat tentang penagihan dadah
Syafique Shuib
Julai 2, 2013 08:00 MYT
Julai 2, 2013 08:00 MYT
Peranan kerajaan dan masyarakat dapat membantu ubah persepsi terhadap isu penagihan dadah yang kian membimbangkan.
Kata Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk HIV/AIDS Prof. Dr. Michel Kazatchkine, pada asasnya perlu ada perubahan untuk melihat mereka daripada ‘penagih dadah’ kepada ‘pesakit’.
“Pertukaran persepsi agak sukar oleh masyarakt tetapi apa yang mudah adalah untuk melihat isu ini dari segi pragmatik,” kata beliau.
Dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada hari Isnin dengan topik ‘Ubah strategi perangi dadah demi kesihatan awam’ beliau mengambil contoh tentang sistem Terapi Gantian Dadah dengan penggunaan Methadone.
Kaedah rawatan ini adalah pendekatan terbaik bagi penagih heroin namun dilihat sebagai tidak orthodoks.
“Ini adalah satu rawatan. Penagih dadah memerlukan rawatan dan rawatan ini adalah untuk memberi mereka methadone setiap hari. Ini membuat mereka tidak perlukan heroin. Ia secara tidak langsung membuat mereka berasa selesa dan ia agak murah,” kata beliau.
“Malaysia telah menggunakan kaedah bukan kerana saintifik atau penyelidikan tetapi ini adalah rawatan terbaik walaupun diselubungi kontroversi. Oleh kerana ia telah terbukti secara saintifik dan ia akan menyelamatkan nyawa, sesebuah kerajaan harus berani, dan berfikir secara pragmatik,” tambah beliau.
Jelas beliau, dengan kaedah ini mereka boleh menjalankan rutin harian seperti mendapatkan pekerjaan dan membantu keluarga mereka.
“Mereka perlukan sokongan dan kasih sayang,” kata Prof. Dr. Kazatchkine.
Tambah peguam dan aktivis hak asasi manusia Asma Jahangir, ada sesetengah kerajaan telah bekerjasama dengan masyarakat untuk menangani isu ini.
Ini secara tidak langsung memudahkan perubahan persepsi tentang penagih dadah dan penerimaan masyarakat.
“Dimana pihak kerajaan tidak memandang isu ini dan mempunyai prejudis, ia tidak akan kemana. Negara-negara yang lebih tradisional akan mendapat rintangan tentang perubahan persepsi dan melihat isu bukan dari logik tetapi dari aspek teologi.
“Tambah lagi ada penguatkuasa undang-undang dan wakil kerajaan yang melindungi dalang-dalang pengedar dadah jadi isu ini susah untuk ditangani. Namun secara keseluruhannya, saya nampak sudah ada perubahan positif dan penerimaan oleh masyarakat,” akhiri beliau.