Ubah pemikiran daripada pencari pekerjaan kepada pencipta pekerjaan - PM Najib
Bernama
Mei 6, 2017 15:15 MYT
Mei 6, 2017 15:15 MYT
Kerajaan mahu mengubah sudut pemikiran rakyat, khususnya generasi muda, daripada menjadi seorang mencari pekerjaan kepada individu yang mencipta pekerjaan menerusi penglibatan dalam bidang keusahawanan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bidang keusahawanan merupakan antara komponen yang berupaya memperkasa keupayaan golongan muda untuk menjana kekayaan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada individu lain.
"Kita (kerajaan) hendaklah meningkatkan keterlibatan generasi muda dengan menumpukan kepada empat komponen iaitu pendidikan, kemahiran, kepimpinan dan keusahawanan dalam usaha memperkasa golongan tersebut.
"Pada (program) hari ini, bidang keusahawanan diberi tumpuan agar ada satu paradigma berlaku dalam minda golongan muda bahawa cita-cita dan aspirasi seseorang tidak terhad hanya untuk mencari pekerjaan.
"Kita mahu mengubah pandangan (generasi muda) daripad amenjadi pencari pekerjaan kepada pencipta pekerjaan," katanya semasa berucap melancarkan Program Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (Great) 2017 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar.
Najib berkata kerajaan sentiasa prihatin dalam membangunkan suasana ekosistem bidang keusahawanan dan perniagaan menerusi sistem pendidikan selain pelbagai inisiatif bagi melonjakkan lagi penglibatan golongan muda dalam bidang berkenaan.
Ini termasuk program seperti Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Gerakan Keusahawanan Global (GEM) yang diperkenal kerajaan adalah antara usaha berterusan.
"Program-program keusahawanan yang disediakan kerajaan ini adalah untuk menyediakan generasi baharu, yang tidak makan gaji semata-mata, tetapi mahu menjadi pencipta pekerjaan yang boleh menjana kekayaan untuk diri sendiri dan negara," katanya.
"Kita adalah kerajaan bertanggungjawab dan mempunyai agenda untuk golongan muda di Sabah dan di negara. Kita mahu golongan muda merasai bahawa masa depan (negara) adalah milik mereka... dan Transformasi Nasional (TN50) adalah mengenai golongan muda," katanya.
Program keusahawanan Great di Kota Kinabalu, yang merupakan penganjuran kali ketiga selepas edisi pertama di Kuala Lumpur dan edisi kedua di Kuching, Sarawak, telah menarik penyertaan kira-kira 5,000 usahawan di Sabah yang berlangsung hari ini hingga esok.
Program inisiatif Kementerian Kewangan dan Pejabat Pembangunan Keusahawanan Nasional dengan kerjasama MaGIC serta kerajaan negeri itu adalah platform bagi para usahawan menimba ilmu, khidmat nasihat, sokongan dan bantuan daripada pelbagai agensi terlibat.
Sabah dipilih sebagai tuan rumah pada penganjuran kali ini adalah berdasarkan ekonomi yang kukuh dan dinamik serta bakat-bakat muda keusahawanan yang inovasi dan berpotensi di negeri itu.
-- BERNAMA