Ubah paradigma, proses ajar dan belajar tidak lagi seperti dahulu

Israr Khalid
Jun 10, 2021 07:14 MYT
Perubahan keadaan semasa perlu disantuni sebaiknya dengan kreativiti para pengajar supaya tidak terikat dengan cara lama untuk memastikan kelangsungan pendidikan generasi masa depan negara. -Astro AWANI
APA agaknya masa depan anak-anak kita yang membesar dalam tempoh pandemik ini?
Kesihatannya bagaimana? Pendidikannya bagaimana? Semuanya tentang anak sudah pasti menjadi kerisauan para ibu bapa hari ini.
Kita bicara mengenai pelajaran mereka. Kalau dikira lebih kurang setahun juga mereka tidak betul-betul 'bersekolah', yakni belajar di dalam bilik darjah bersama guru dan rakan-rakan.
Kebiasaan baharu ketika ini adalah di platform digital.
Namun, bagaimana sebenarnya pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) ini berjalan?
Para guru terpaksa menyantuni perubahan yang terpaksa dihadapi ini, dan ramai bergelut untuk memahami norma baharu PdP.
Guru menunggu kata sekolah; sekolah pula menunggu kata kementerian. Arahannya samar sehingga akhirnya menjadi mangsa adalah anak-anak bangsa kita.
Ramai menganggap caranya sama seperti mengajar di dalam kelas yang berdinding, berlantai dan bersiling, sedangkan ia bukan lagi begitu.
Ruang waktu perubahan inilah, menurut kata Datuk Dr Amin Senin, adalah waktu yang paling tepat untuk kita memperbetulkan sistem PdP dan secara amnya seluruh pendidikan kita dengan mengubah paradigmanya.
Cara lama sudah tidak sesuai lagi dengan dunia hari ini, maka ia perlu diperbaiki.
Jelas Dr Amin, hari ini sudah wujud dua lagi ruang pembelajaran, iaitu di rumah dan di alam digital, selain di dalam bilik darjah fizikal.
Kekeliruan hari ini wujud apabila kita melihat dan menjalaninya secara berasingan, maka apabila berlaku ketidaktentuan, kita jadi pening nak ikut yang mana satu.
“Pada saya, paradigma baharu adalah kita kena adunkan ketiga-tiga ini.
"Ia perlu dimanfaatkan bersama dan ini yang akan membawa pelajar kepada hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu.
“Kita kena takrifkan makna norma baharu dalam pembelajaran itu dalam konteks ini.
"Kalau kita boleh takrifkan dengan baik, jadi ibu bapa pun tahu yang PdPR ini kalau tak ada pandemik pun akan berlaku juga, jadi kepentingannya ada.
“Kita patut manfaatkan suasana sekarang untuk beri satu kata putus bagaimana norma baharu pengajaran dan pembelajaran kita,” jelas Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021 itu.
Dalam lautan kekeliruan itu, sedikit demi sedikit timbul satu persatu pengajar yang menemui cara tersendiri untuk terus hidup dan memberi nafas baharu dalam PdP demi kelangsungan pendidikan anak-anak Malaysia.
Saliza Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zack Kirana, adalah salah seorang daripadanya.
Personaliti tular itu memanfaatkan sebaiknya keterbukaan platform digital dengan mempersembahkan cara mengajar yang lebih santai tetapi tetap berisi.
Guru Bahasa Melayu di Pusat Tuisyen MC Plus itu berpendapat bahawa kita kini perlu menganggap bahawa PdPR itu akan kekal untuk satu tempoh yang lama, jadi pendidik perlu kreatif untuk memberi nafas baharu kepada proses pembelajaran.
“Tak semestinya PdPR itu perlu belajar secara langsung terus dengan cikgu.
"Kita boleh belajar dari segi bahan rakaman daripada guru-guru atau bahan cetakan yang cikgu sudah siapkan untuk diambil di sekolah dan dibawa pulang ke rumah.
“Tenaga pengajar pun andai kata aturan atau misi belum jelas daripada pihak atasan, cikgu sendiri boleh cari inisiatif.
“Kalau kita ikut cara formal atau betul-betul waktu seperti di sekolah, mereka akan cepat bosan dan mengantuk,” ujarnya.
Bercakap mengenai PdPR, ia takkan boleh berlaku tanpa akses kepada peranti yang berkemampuan serta hubungan internet yang stabil.
Apa pun cara penyampaian guru itu, ada yang kurang bernasib baik untuk mengikuti kelas itu kerana kemampuannya terhad.
Ada dari keluarga miskin, ada yang terpaksa berkongsi satu peranti dengan enam orang adik beradik yang lain, ada macam-macam latar belakang pelajar kita.
Supaya mereka tidak tercicir, perlunya setiap sekolah mengenal pasti pelajarnya yang memerlukan sokongan.
Untuk usaha demikian, Cheryl Ann Fernando, Pengarah PEMIMPIN Global School Leaders Malaysia, menyarankan supaya setiap sekolah perlu membuat analisis keperluan terhadap semua pelajarnya dan data itu sedia dikongsi dengan pihak berkepentingan.
“Bila kita tahu berapa ramai pelajar yang mempunyai akses, jadi kita boleh bentuk pelan pembelajaran berdasarkan data itu.
“Ada sahaja pihak korporat yang nak membantu, tetapi masalahnya adalah data.
"Jadi kalau kita ada konsep data terbuka di mana pihak korporat boleh menghubungi kementerian dan mahu menyumbang peranti ke sekolah-sekolah yang memerlukan.”
Pokoknya, cara kita kena berubah dan kita perlu berani untuk menongkah arus perubahan itu dengan bersama, dalam pendidikan atau apa lapangan sekali pun.
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru: ‘Generasi Hilang’ atau ‘Generasi Hebat’ menampilkan ketiga-tiga panelis bersama hos, Dzulfitri Yusop, di sini:
Dialog Tiga Penjuru: 'Generasi hilang' atau 'Generasi hebat'?
#DialogTigaPenjuru #PdPR #Datuk Dr Amin Senin #Cheryl Ann Fernando #Zack Kirana #pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #pandemik #ubah paradigma #COVID-19 #proses ajar dan belajar
;