Ubah fakta sejarah, nafikan hak generasi akan datang - Tuanku Muhriz
Shuhada Abdul Kadir
November 19, 2023 15:54 MYT
November 19, 2023 15:54 MYT
KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, rekod sejarah pemerintahan beraja yang lengkap amat penting untuk membantu negeri mempertahankan kedaulatan sistem beraja khususnya dalam menentukan sempadan kuasa pemerintahan.
Baginda bertitah, untuk itu satu penyelidikan sejarah sedang dijalankan dan dijangka akan menemukan hasil dapatan berkaitan institusi pemerintahan beraja Negeri Sembilan sejak kewujudannya.
Titahnya, inisiatif kajian itu merupakan satu usaha yang tepat kerana masih belum ada pihak yang memulakan kajian sejarah pemerintahan beraja yang terperinci dan hasilnya nanti mampu menepis fakta-fakta sejarah kurang tepat.
“Mengetahui sejarah yang betul adalah penting kerana sejarah merupakan penghubung kita dengan masa lalu di samping menjadi panduan menghadapi masa depan.
“Oleh itu, merakam, mencatat, merekod dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah satu disiplin yang perlu menjadi amalan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa, institusi akademik dan komuniti pengkaji sejarah.
“Kaedah penyelidikan dan bahan penyelidikan meliputi manuskrip, dokumen perjanjian, surat-surat, laporan, memoir zaman Belanda dan British, serta penulisan terkini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada hari terakhir Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap Menjunjung Duli di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti, di sini pada Ahad.
Turut berangkat pada istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Dalam pada itu, baginda turut berharap hasil penyelidikan itu mampu mewujudkan sumber rujukan dan panduan bagi tatapan pentadbiran negeri dalam usaha menjaga kedaulatan dan keharmonian sejagat.
“Tindakan mengubah fakta sejarah merupakan satu perbuatan yang menyalahi etika keilmuan dan intelek, kerana ia menafikan hak generasi akan datang untuk mengetahui perkara yang sebenar.
“Beta berharap hasil penyelidikan ini nanti akan wujud suatu sumber rujukan dan panduan bagi tatapan pentadbiran negeri khususnya, dalam usaha kita menjaga kedaulatan dan keharmonian sejagat di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa,” titah baginda.
Terdahulu, Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap Menjunjung Duli berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu dengan acara kemuncak Istiadat Menghadap Penghulu Luak Tanah Mengandung berlangsung hari ini.
Pada istiadat itu, Tuanku Muhriz turut melancarkan logo khas sempena Ulang Tahun ke-250 Pemerintahan Beraja Negeri Sembilan
“Istiadat itu adalah lambang kemegahan pemerintahan beraja di Negeri Sembilan yang pada tahun ini sudah genap berusia 250 tahun,” titah baginda lagi.
#Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
#Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
#pemerintahan beraja
#rekod sejarah
#Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung
#Kuala Pilah