Ubah cara pemikiran untuk lahir masyarakat berperibadi mulia
Bernama
Februari 1, 2018 20:32 MYT
Februari 1, 2018 20:32 MYT
Misi dan visi melahirkan individu berkeperibadian mulia serta berdaya saing hanya akan tercapai jika masyarakat mengubah cara pemikiran.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh yang mencetuskan idea 'Firdaus 2050' iaitu generasi yang lengkap dengan ilmu agama, pendidikan serta maju dalam ekonomi berkata corak pemikiran yang hanya pada tahap 'jutaan', perlu ditukar kepada 'bilion dan trilion'.
"Masyarakat tempatan (Terengganu) hanya kebiasaannya melihat apa yang kita ada dalam konteks Terengganu sahaja... mereka tidak lihat dalam konteks lebih besar iaitu Malaysia. Kalau hendak jadi yang terbaik di dunia sekarang, mereka perlu sasarkan bukan sahaja jutaan tetapi tentang bilion... syarikat besar luar negara sudah pun bernilai trilion ringgit.
"Kalau kita bandingkan dengan apa yang kita ada sekarang, kita tidak akan ke mana-mana. Kita akan sentiasa menjadi orang yang tidak mampu membuat keputusan," katanya pada pemberita pada sidang media selepas Pelancaran Gelombang Firdaus 2050 Peringkat Negeri Terengganu di sini, pada Khamis.
Majlis turut dihadiri lebih 200 anggota Persatuan Pesara Negeri Terengganu dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Terengganu.
Idris berkata bagi memastikan misi 'Firdaus 2050' berjaya beliau berharap akan mendapat kerjasama daripada pelbagai golongan termasuklah veteran dan pesara yang telah melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman.
Beliau yang tidak meletakkan sebarang sasaran tentang jumlah dan tempoh melahirkan individu tersebut berkata hingga kini beliau hanya perlu menguar-uarkan dan masih banyak yang perlu dikaji kerana ciri-ciri 'Firdaus 2050' itu perlu bermula daripada peringkat rendah.
Katanya 'Firdaus 2050' mempunyai lima ciri-ciri penting iaitu taraf pendidikan tertinggi hingga mampu menjadi pelajar terbaik di Universiti Harvard, menguasai lima bahasa utama dunia termasuk Arab dan Jepun, memiliki aset bernilai trilion USD, bersifat pemurah serta menyayangi insan lain kerana mempunyai pegangan agama yang kuat dan meneroka teknologi terbaru.
"Sesuatu yang tidak mustahil, namun ia bukanlah boleh dicapai dalam masa lima atau 10 tahun. Insan sebegini perlu dilahirkan pada masa akan datang bagi menyumbang kepada masyarakat. Golongan mereka mungkin akan dapat dilahirkan lima tahun lebih awal atau lewat dari yang telah kita tetapkan.
"Untuk melahirkan Firdaus, ia perlu diperhatikan dari sekolah rendah hingga mereka masuk universiti. Kita boleh melihat semasa Imtiaz di Terengganu mula dilancarkan pada 1999 yang menggabungkan pengajian al-Quran dan konvensional serta ada antara mereka ini sudah lulus universiti dan menjadi graduan," katanya.
Idris yang juta Anggota Parlimen Besut dan bekas menteri besar merupakan pencetus kepada kewujudan Sekolah Menengah Imtiaz yang menggabungkan al-Quran dan sistem pendidikan sedia ada.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih daripada 200,000 mahasiswa di Universiti Awam (UA) di seluruh negara yang layak telah mendaftar sebagai pengundi.
Bagaimanapun katanya daripada jumlah tersebut, masih ada lagi seramai 250,000 mahasiswa UA seluruh negara yang layak tetapi masih belum mendaftar.
"Antara faktor kelewatan mahasiswa UA mendaftar sebagai pengundi adalah kerana mereka tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan untuk mengundi.
"Namun begitu, masalah itu telah kita atasi apabila baru-baru ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah turun padang ke semua UA di seluruh negara bagi membantu mereka mendaftar sebagai pemilih," katanya.
-- BERNAMA
#Firdaus 2050
#Idris Jusoh
#mahasiswa
#pendidikan
#pesara
#Sekolah Menengah Imtiaz
#terengganu
#universiti
#universiti awam
#veteran