Ubah cara kendali COVID-19 supaya masyarakat boleh kembali dengan rutin harian - Dr Sim

Fadilah Sulaiman
September 12, 2021 06:32 MYT
Jelas Dr Sim Kui Hian hidup bersama COVID-19 bemakna mengakui hakikat bahawa menghapuskan COVID-19 adalah mustahil. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Kaedah pengendalian wabak COVID-19 perlu diubah suai demi memastikan masyarakat dapat kembali dengan rutin harian sebelum pandemik dengan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata masyarakat perlu belajar menerima untuk hidup bersama virus tersebut di samping memainkan peranan masing-masing dalam mengurangkan kadar kematian dan jangkitan teruk dalam komuniti.
Jelasnya situasi COVID-19 di Sarawak ketika ini cukup berbeza dengan situasi setahun lalu yang dipengaruhi oleh beberapa faktor.
“COVID-19 di Sarawak pada September 2021 adalah berbeza dengan COVID-19 pada September 2020.
“Pertamanya, Sarawak kini di era pasca vaksinasi, kedua, gelombang varian Delta, ketiga, mendekati fasa endemik iaitu penularan berterusan dalam komuniti dan keempat, hidup bersama virus serta mula membenarkan pelbagai aktiviti dengan selamat,” katanya dalam satu hantaran Facebook miliknya pada Ahad.
Jelasnya tumpuan angka harian yang perlu diawasi untuk mengenalpasti keseriusan penyakit adalah jumlah pesakit dari kategori 3, 4 dan 5 serta jumlah kematian.
Manakala, untuk kapasiti fasiliti kesihatan pula adalah jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) serta bilangan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dr Sim kemudian menjelaskan lanjut maksud hidup bersama virus itu adalah dengan mengakui fakta bahawa untuk menghapuskan COVID-19 adalah mustahil.
Bagaimanapun vaksin COVID-19 boleh memberi ketahanan imunisasi seterusnya mengurangkan risiko simptom terus serta kematian jika dijangkiti.
“Oleh itu sudah tiba masanya untuk menyambung semula kerja dan perniagaan demi kelangsungan hidup, pelajar kembali ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan bagi masa depan yang terjamin.
“Dan mulakan semula aktiviti sosiobudaya, keagamaan dan sukan demi kesejahteraan mental dan rohani, ke tahap normal mungkin dengan pelbagai langkah berjaga-jaga tanpa membahayakan kesihatan golongan yang tidak divaksinasi dalam komuniti kita,” katanya.
Untuk rekod, pada Sabtu Sarawak telah mencatatkan 3,743 kes positif iaitu tertinggi dalam negara dengan 81.49 peratus dari jumlah itu merupakan pesakit Kategori 1 dan 2, manakala sejumlah lapan kes dari kategori 3 hingga 5.
#COVID-19 #SOP #endemik #Sarawak