UAE setuju bantu transisi pendidikan digital Malaysia
Najib Aroff
Mac 11, 2021 15:44 MYT
Mac 11, 2021 15:44 MYT
ABU DHABI: Menyedari dan memahami aspek pendidikan perkara paling penting bagi sesebuah negara, kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersedia bersama Malaysia dalam membangunkan sektor berkenaan.
Lebih tepat lagi, UAE sedia menghulurkan sokongan membantu pembangunan sistem pendidikan negara dalam transisi digital sektor itu ekoran kesan pandemik COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen itu dizahirkan Putera Mahkota yang juga Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dalam pertemuan pada Rabu.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin telah mengemukakan kesan pandemik terhadap sistem pendidikan negara kepada Sheikh Mohamed Zayed.
Antara cabaran yang digariskan Muhyiddin ialah penutupan sekolah selama berbulan-bulan sekali gus menganggu proses pembelajaran.
Menurut Muhyiddin, negara tidak mempunyai keupayaan kecuali sebahagian kecil ibu bapa yang membekalkan peranti seperti komputer dan sebahagian kecil pelajar kita belajar secara dalam talian.
“Saya terangkan rancangan kita mahu laksanakan pendidikan digital selari dengan Digital Malaysia dan sistem pendidikan beralih kepada pendidikan dalam talian.
“Untuk membekalkan peranti pada jumlah besar ada cabaran, saya jelaskan perancangan kita namun belum sempat saya habiskan ucapan saya, baginda berkata done, beres, saya terpegun,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan rasmi enam hari di Asia Barat.
Muhyiddin turut memaklumkan pada Sheikh Mohamed Zayed perancangan itu melibatkan banyak perkara kerana jumlah pelajar Malaysia amat besar iaitu sejumlah enam juta.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, komitmen yang dizahirkan UAE akan segera dibincang di Malaysia bersama Kementerian Pendidikan untuk mencari cara melaksanakan perkara tersebut.
“Saya tidak pasti kos (peranti), mungkin sekitar RM3 ke RM4 bilion dan jika baginda kata ditanggung beres, mungkin baginda akan bantu sebahagian besar.
“Kita akan teliti secara terperinci sebelum kita persembahkan kepada baginda,” katanya.
Muhyiddin berkata, ia bukan hanya soal peranti sebaliknya melibatkan aspek kandungan, latihan kepada guru dan pembangunan ekosistem pendidikan negara
#UAE
#Emiriah Arab Bersatu
#Malaysia
#sistem pendidikan negara
#transisi digital
#Putera Mahkota
#Timbalan Perdana Menteri
#Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin