UAE ikrar tingkat perdagangan lima kali ganda dengan Malaysia - Muhyiddin

Najib Aroff
Mac 11, 2021 15:12 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Abu Dhabi. - Gambar Pejabat Perdana Menteri
ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan komitmen meningkatkan pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia sehingga lima kali ganda.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen itu dinyatakan Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di sini.
“Dalam aspek perdagangan dan pelaburan, istilah yang digunakan Putera Mahkota adalah sky is the limit.
“Saya bincang lanjut berkaitan perdagangan dua hala dan baginda bersetuju meningkatkan sebanyak lima kali ganda daripada angka sedia ada iaitu hampir AS$3 bilion. Tiada tempoh ditetapkan," kata Muhyiddin dalam sidang media pada akhir lawatan rasmi enam hari di Asia Barat.
Sementara itu dalam aspek pelaburan pula, UAE juga, jelas Perdana Menteri, berikrar meningkatkan pelaburan ke Malaysia.
“Baginda jelaskan bahawa jika UAE boleh melabur jumlah besar di China, India dan Pakistan, mengapa tidak melabur jumlah besar di Malaysia,” kata beliau.
Persetujuan itu dicapai sewaktu pertemuan Muhyiddin bersama Sheikh Mohamed di Abu Dhabi pada Rabu
Muhyiddin turut menyifatkan sambutan yang diberikan amat luar biasa dengan semua cadangan dikemukakan diterima secara terus oleh UAE.
“Respons diberikan amat luar biasa menunjukkan kesungguhan Putera Mahkota dan UAE untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri berkata, penelitian terperinci akan dilaksanakan segera termasuk menyenaraikan bidang berkepentingan yang memerlukan pelaburan UAE sebelum dibentangkan.
Kata Muhyiddin, pelaburan besar ini jika direalisasikan segera akan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan menyediakan peluang pekerjaan besar ketika tempoh sukar pandemik ketika ini.
Dalam aspek perdagangan pula, Muhyiddin berkata, UAE bersetuju meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia.
#Emiriah Arab Bersatu #UAE #Malaysia #pelaburan #lima kali ganda #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Putera Mahkota Abu Dhabi #Timbalan Perdana Menteri UAE #Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan
;