5G Kedua: U Mobile lalui proses tender, bukan ‘direct award’ - Fahmi

Ridauddin Daud
November 7, 2024 11:15 MYT
Fahmi berkata, pemilihan U Mobile dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal dikemukakan serta rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemilihan syarikat U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai penyedia Rangkaian 5G Kedua Malaysia dilakukan melalui proses tender, bukannya secara penganugerahan terus.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, keputusan memilih U Mobile juga tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.
Jelasnya, pemilihan syarikat itu berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal dikemukakan serta rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan.
Selain itu, katanya, prestasi U Mobile dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain, termasuk faktor sumbangan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) dan projek penaiktarafan 4G juga antara faktor syarikat tersebut dipilih.
Tegas Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menetapkan komitmen pengawalseliaan untuk memastikan pematuhan kepada semua standard ditetapkan.
“MCMC akan memantau komitmen ini dengan teliti dan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap sebarang ketidakpatuhan.
“Keperluan am pegangan ekuiti asing bagi lesen individu Pemberi Kemudahan Rangkaian (NFP) dan lesen individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) adalah maksimum 49 peratus.
“Manakala pegangan Bumiputera adalah sekurang-kurangnya 30 peratus. Keperluan ini diperuntukkan melalui syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.
“Ketika ini, pegangan ekuiti asing di dalam U Mobile adalah masih di dalam lingkungan pematuhan syarat khas lesen yang dikeluarkan kepada U Mobile,” katanya.
Tambah beliau, U Mobile juga telah memberi komitmen untuk mengurangkan pegangan asing kepada 20 peratus, bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur tempatan.
Katanya lagi, U Mobile juga komited untuk melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia, termasuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi lain untuk menyediakan perkhidmatan 5G bertaraf dunia kepada pengguna.
“U Mobile dibenarkan untuk bekerjasama dengan MNO lain bagi memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia, tertakluk kepada kelulusan MCMC.
“Untuk makluman, U Mobile mempunyai rekod prestasi selama lebih daripada 17 tahun dan berada dalam kedudukan yang baik untuk pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.
“Syarikat itu juga pernah dinamakan sebagai ‘Syarikat Perkhidmatan Mudah Alih Malaysia Terbaik’ oleh Frost & Sullivan sebanyak enam kali,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanya alasan kerajaan memilih U Mobile melaksanakan rangkaian kedua 5G di Malaysia.
#Fahmi Fadzil #rangkaian 5G #MCMC #U Mobile
;