TYT harap bekalan vaksin mencukupi di Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 30, 2021 19:20 MYT
Ogos 30, 2021 19:20 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu memastikan bekalan vaksin COVID-19 di negeri itu mencukupi.
Ia bagi membolehkan sasaran 100 peratus populasi penduduk berumur 18 tahun ke atas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada awal bulan September ini tercapai.
Saranan itu dizahirkan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang , Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang mahu program vaksinasi disegerakan di negeri itu seterusnya melangkah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.
Ahmad Fuzi berkata, sehingga 26 Ogos lepas, sebanyak 1.1 juta penduduk negeri itu telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin iaitu 62.1 peratus populasi penduduk.
Daripada jumlah itu, seramai 711,454 orang juga telah melengkapkan dua dos vaksin iaitu 40.1 peratus populasi penduduk.
"Kerajaan Negeri mensasarkan bahawa 100 peratus populasi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada awal bulan September 2021. Oleh itu, bekalan vaksin yang mencukupi adalah amat penting untuk memastikan kejayaan program vaksinasi," katanya,
Dalam pada itu, Tun Ahmad Fuzi juga berharap semua projek untuk kemudahan rakyat yang disusun dan dirancangkan oleh kerajaan Pusat dan Negeri dapat disiapkan mengikut jadual meskipun negara sedang menghadapi tempoh pandemik.
Katanya, projek itu penting terhadap rakyat selain dapat memacu ekonomi negara secara dalaman.
Sehubungan itu, beliau menyeru wakil rakyat bertugas tanpa mengira parti sama ada kerajaan atau pembangkang, agar dapat memberi fokus dan iltizam untuk membantu rakyat dalam meneruskan kehidupan dalam tempoh pandemik.
Tun Ahmad Fuzi berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ke-empat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di George Town, pada Isnin.
Ia majlis perasmian pertama DUN beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 1 Mei Lalu.
Persidangan berlangsung secara fizikal selama sembilan hari sehingga lapan September dengan kehadiran hanya ADUN dan pegawai kerajaan.
Pihak media tidak dibenarkan hadir, manakala persidangan disiarkan secara langsung di laman web dan media sosial Dewan Undangan Negeri.