TX2 terbakar punca kebakaran di Mid Valley - Suruhanjaya Tenaga

Bernama
Mei 19, 2023 18:14 MYT
Siasatan awal ST juga mendapati sistem kabel bagi keseluruhan alat ubah di pencawang tersebut turut terjejas memandangkan lokasi kabel berada berhampiran dengan kejadian kebakaran. -Gambar fail/Video tular
PUTRAJAYA: Siasatan awal Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati kebakaran di bilik Pencawang Masuk Utama Midvalley Megamall pada Rabu lepas berpunca daripada alat ubah TX2 yang terbakar sepenuhnya dan menyebabkan keseluruhan sistem bekalan elektrik terjejas.
Siasatan awal ST juga mendapati sistem kabel bagi keseluruhan alat ubah di pencawang tersebut turut terjejas memandangkan lokasi kabel berada berhampiran dengan kejadian kebakaran.
"Pada masa ini, ST sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," menurut ST dalam kenyataan hari ini berhubung kes kebakaran di pencawang elektrik Midvalley Megamall.
Rabu lepas, video kebakaran yang berlaku di pusat beli-belah berkenaan tular di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam keluar dari bangunan berkenaan.
ST berkata kebakaran pada kira-kira 10.30 pagi itu menyebabkan keempat-empat alat ubah yang berada di pencawang tersebut terputus bekalan dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik, dan bekalan berjaya juga dipulihkan sepenuhnya secara berperingkat sekitar 12.30 tengah hari pada hari sama.
"ST memandang serius kes seperti ini yang bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan sistem bekalan elektrik, malah melibatkan keselamatan orang awam," menurut ST yang merupakan badan kawal selia bagi sektor pembekalan elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia.
Sekiranya didapati berlaku sebarang kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak, ST akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.
ST berkata Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga sedang menyediakan pelan mitigasi untuk membekalkan semula bekalan melalui pemasangan kabel baharu bagi memastikan kualiti bekalan kepada pengguna adalah terjamin.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Tenaga #TNB #Midvalley Megamall #TX2
;