TWL Holdings Bhd bangunkan tanah, majukan rumah mampu milik untuk keperluan rakyat
Nabilah Khaleeda
Mei 21, 2023 09:30 MYT
Mei 21, 2023 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: TWL Holdings Berhad memandang serius isu gelandangan di Malaysia sekali gus berhasrat untuk membendung masalah ini dengan menyediakan penyelesaian dinamik sebelum ia memburuk.
Menurut Timbalan Pengerusinya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan harga hartanah yang terus-menerus meningkat menyebabkan semakin ramai berasa sukar untuk memiliki rumah sendiri.
Justeru, sebagai syarikat pembangunan hartanah, TWL berperanan memajukan kawasan tanah sedia ada yang berpotensi dijadikan pembangunan rumah mampu milik khusus buat golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Dalam situasi ekonomi semasa, penyediaan rumah mampu milik dianggap sebagai pilihan yang paling baik kerana terdapat permintaan yang tinggi, namun pengiraan keuntungan juga perlu diambil kira," tambah beliau ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Rabu.
Dengan itu, pembangunan bercampur (Mixed Use Development) yang merangkumi pelbagai jenis perumahan (murah, mampu milik, mewah) amatlah digalakkan agar dapat mengimbangi kos pembelian di sesebuah kawasan.
"Pembeli dapat berkongsi beban kos rumah, di mana pembeli dengan pendapatan yang lebih tinggi akan membantu mereka yang mampu membayar dengan harga yang lebih rendah." jelasnya.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penjimatan kos yang mudah dilakukan selain dapat memastikan tiada individu yang terpinggir tanpa memiliki rumah sendiri.
Secara tuntas, Syed Abdul Aziz berharap pada masa akan datang TWL Holdings Berhad terus komited memastikan tanah-tanah digunakan secara produktif agar dapat memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.