Kenyataan yang mengundang kontroversi oleh Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan sistem politik di negara ini harus meninggalkan negara ini, mengundang pelbagai komen dari kalangan pengguna media sosial.

Ramai pengguna, termasuk ahli politik pembangkang, mengkritik kenyataan yang diterbitkan dalam sebuah artikel dalam Utusan Malaysia bertajuk “Perhimpunan haram sebab tak terima hakikat gagal kuasai Putrajaya”.

Antara yang membidas kenyataan Ahmad Zahid di Twitter adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Lim dalam satu twitnya, bertanya sekiranya penyokong Pakatan Rakyat (PR) terpaksa berhijrah kerana tidak berpuas hati dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) , adakah penyokong BN akan meninggalkan negeri-negeri yang berjaya ditawan oleh BN.


Pengguna Twitter lain yang tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut juga menyertai perbalahan itu.









Dalam artikel tersebut, Ahmad Zahid berkata perhimpunan haram yang dianjurkan PR di seluruh negara adalah seperti lari dari kenyataan dan penafian kepada hakikat kegagalan memperoleh Putrajaya.

"Malaysia mewarisi sistem politik daripada United Kingdom dan kebanyakan negara Komanwel juga menggunakan sistem first past the post yang mana parti-parti politik yang bertanding di kawasan pilihan raya memilih hanya seorang wakil bagi setiap kawasan pengundian yang mengambil kira prinsip undi majoriti mudah.

"Pemimpin-pemimpin parti pembangkang khususnya PKR dan DAP telah mengelirukan anak-anak muda Cina dan para pengikut yang buta politik untuk berpakaian serba hitam sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU-13 yang dianggap memihak kepada mereka mengikut undi popular.

"Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.

"Malaysia bukan negara untuk menterjemahkan kepercayaan politik mereka, malah jika mereka benar-benar rakyat yang setia kepada negara ini, mereka hendaklah menerima sistem politik dan sistem membentuk kerajaan sedia ada seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan." katanya.