Twitterjaya: Adakan garis panduan sebelum pantau media sosial
Syafique Shuib
Mei 26, 2013 14:21 MYT
Mei 26, 2013 14:21 MYT
Kementerian berkenaan juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau media sosial.
Apa pula kata pengguna media sosial Malaysia?
“Negara kita sudah mempunyai pelbagai undang-undang seperti undang-undang jenayah, undang-undang media dan kanun keseksaan. Umum tahu atau tidak, kita sudah pun tertakluk kepada undang-undang negara. Pengguna media sosial boleh menyaman pengguna lain dan pihak berkuasa juga boleh mengambil tindakan menggunakan undang-undang berkenaan.
"Namum platform media sosial amat sukar untuk dipantau. Ia adalah satu platform untuk individu meluahkan pendapat diri sendiri sama dengan perbualan di kedai kopi. Untuk SKMM memantau setiap tweet, ia adalah satu tanggungjawab yang berat.”
- Khairul Anuar, peguam
“Media sosial tidak mempunyai sekatan, semua boleh menulis apa sahaja di Facebook and Twitter. Apabila apa yang ditulis adalah tidak benar dan berunsur fitnah, orang lain akan menjadi mangsa. Terdapat penipuan, kebencian, maki hamun dengan penggunaan bahasa kesat. Ia tidak sihat dalam demokrasi jadi ia harus dipantau. Pihak SKMM pula harus tingkatkan penguatkuasaan supaya isu ini boleh dipantau
"Ia juga bermula dengan self-censorship dimana penulis blog harus mendedahkan identiti mereka. Dengan ini, mereka akan rasa bertanggungjawab dan akan mematuhi undang-undang. Orang ramai pula harus membuat pengesahan apabila membaca kandungan yang terdapat di media sosial.”
- Tun Faisal, Pengerusi Unit Media Baru pergerakan Pemuda Umno
“Internet hendaklah bebas. Ia tidak memerlukan pemantauan yang berlebihan. Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini terdapat kandungan di media sosial yang memerlukan pemantauan terutama sekali pasca PRU13. Pertama sekali, kami (Twitterjaya) memerlukan garis panduan. Kami juga memerlukan kelompok pembuat dasar yang terdiri dari mereka yang aktif menggunakan media sosial. Jangan ada yang ingin membentukkan dasar namun tidak aktif menggunakan platform media sosial. Platform ini berbeza dengan dasar yang diperlukan untuk media tradisional.
"Kedua, harus ada penguatkuasaaan yang adil dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik. Namun internet harus bebas. Lebih ketat pengawalan internet, lebih ramai yang akan melawan balik."
- Joe Lee, pengarah kreatif My J Play dan perunding media sosial