Twitter padam ciapan Pengerusi MDEC mengenai 'ubat COVID-19'

Astro Awani
Januari 15, 2021 16:18 MYT
Ciapan pada Khamis menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk golongan profesional yang mengecam tindakan beliau itu dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR : Syarikat pengendali laman sosial Twitter memadam ciapan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff kerana dikatakan mengandungi maklumat tidak benar mengenai COVID-19.
Ia susulan ciapan tersebut dikatakan melanggar peraturan media sosial itu.
Menerusi ciapan di akaun Twitter beliau pada Khamis, Rais Hussin berkata: "Cuba ini, saya telah mula (mengambil)... semoga dapat membantu mencegah daripada serangan virus."
Ciapan tersebut dimuat naik bersama ramuan perubatan Ayurveda dengan tulis tangan Corona Kashayam (ubat Corona).
Ramuan yang diperbuat daripada kunyit itu dakwanya, terbukti menyembuhkan seorang doktor yang sebelum ini diuji positif, dalam hanya tempoh 24 jam.
Ciapan itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk golongan profesional yang mengecam tindakan beliau itu dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
Beberapa jam kemudian, Rais dilihat membalas ciapan salah seorang netizen yang melabelkanyaa sebagai degil kerana tidak mahu memadam kenyataan tersebut.
"Of course this is my personal view! Use of traditional medicine as a compliment (sic) to modern medicine. Kita cuba semua, don’t forget praying as well," katanya.
#ciapan #Twitter memadam #mengandungi maklumat tidak benar #COVID-19 #melanggar peraturan #media sosial #MDEC #twitter padam
;