Tweet semberono, polis tahan lelaki dakwa 'Nora Anne dirogol Orang Asli'
Bernama
Ogos 16, 2019 17:06 MYT
Ogos 16, 2019 17:06 MYT
Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mendakwa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin,15, dirogol orang Asli.
Lelaki itu yang menggunakan nama Zikri Armstrong membuat dakwaan tersebut melalui ciapan akaun Twitternya, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini, jam 7 malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata kes itu diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
"Lelaki itu sudah ditangkap malam tadi di Seremban," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohamad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Mayat remaja berumur 15 tahun itu dijumpai pada Selasa selepas dilaporkan hilang dari vila percutian di resort eko-pelancongan dekat sini pada 4 Ogos.
-- BERNAMA