TVET tinggi dikendali KPT, TVET asas dikendali agensi bawah KESUMA - Zambry

Firdaus Azil
Oktober 23, 2024 16:01 MYT
Dengan langkah tersebut, kerajaan diharap boleh menilai jenis-jenis pengkhususan atau fokus kepada bidang-bidang TVET yang akan dikenal pasti. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Bagi mengukuhkan lagi usaha pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan agar TVET aras tinggi dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kata menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Ringkasan AI
  • TVET aras tinggi akan dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), manakala TVET asas akan dikendalikan oleh agensi dan institusi yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
  • Langkah ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pasaran dalam bidang teknikal seperti elektrik dan elektronik (E&E), automasi, dan kenderaan elektrik.
  • Kerajaan juga meneroka peluang untuk memperkukuhkan industri TVET melalui program pertukaran pelajar serta kepakaran teknikal antara Malaysia dan China.

Beliau berkata, Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara turut memutuskan agar TVET asas pula dikendalikan oleh agensi dan institusi berkaitan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Katanya lagi, dengan langkah tersebut, kerajaan boleh menilai jenis-jenis pengkhususan atau fokus kepada bidang-bidang yang akan dikenal pasti.
“(Melalui cara ini) … segala keperluan pasaran dapat kita penuhi. Kerana bidang TVET ini luas, boleh masuk ke dalam bidang teknikal khususnya melibatkan elektrik dan elektronik (E&E), automasi, dan kenderaan elektrik. Itu antara perkara yang sedang kita lihat.
“Paling mustahak TVET itu memberi fokus macam mana kita nak penuhi keperluan industri. Itu adalah matlamat TVET. Bukan hanya nak anjur program semata-mata rasa seronok nak buat program. Jadi dengan matlamat berfokus, kita tahu bila mereka (pelajar lepasan TVET) keluar, ke mana mereka nak pergi,” katanya lagi.
Tambah Zambry, langkah itu disokong dengan lawatan Zahid ke China sebanyak dua kali dalam tempoh setahun, bagi meneroka peluang untuk memperkukuhkan lagi industri TVET melalui program pertukaran pelajar serta kepakaran teknikal di antara Malaysia dan China.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia-China anjuran Universiti Utara Malaysia di sini pada Selasa.
#TVET #Zambry Abd Kadir #Kementerian Pendidikan Tinggi #China
;