TVET: Sektor awam, swasta tidak boleh bersifat dikotomi

Astro Awani
Februari 25, 2024 09:40 MYT
Kerjasama yang efektif antara sektor awam dan swasta akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber merentasi kedua-dua sektor ini. - Foto SG Education
BUTTERWORTH: Sektor awam dan swasta tidak boleh bersifat dikotomi dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, kata Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes.
Justeru katanya, kerjasama antara sektor awam dan swasta (PPP) perlu menjadi mekanisme utama yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan bidang tersebut.
Beliau memberitahu, kerjasama itu bukan sahaja dapat menaik taraf institusi sedia ada malah dapat menyediakan peluang yang lebih besar kepada pelajar untuk mengikuti kursus-kursus baharu seperti kenderaan elektrik (EV) dan dron yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
"Dengan kerjasama ini, pemain industri utama negara dapat terbabit terus mengurus latihan TVET dan seterusnya menyediakan pelajar yang dilatih memasuki alam pekerjaan dengan pendapatan munasabah.
"Pada masa sama, ia juga akan menyelesaikan permasalahan mengenai latihan tidak sepadan, tidak diperluaskan dan tidak memuaskan membabitkan graduan. Tanpa tenaga mahir yang kompeten, pembangunan sektor ini (TVET) akan tergugat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Electric Vehicle (EV) dan Kelengkapan, kerjasama awam swasta (PPP) antara Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai dengan Autotronics, di ILP Perai, pada Sabtu.
Majlis yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir.
Pada majlis itu sumbangan kelengkapan autotronic bernilai RM200,000 diserahkan kepada ILP Perai selain pembiayaan latihan kepada sembilan sembilan juru latih ILP Perai yang layak, kosnya dianggarkan RM45,000.
Juga diserahkan sebuah kereta EV (BMW i3), alat diagnostik, pengangkat bateri dan latihan dan pensijilan untuk jurulatih ILP Perai dengan kerjasama International Motor Industry, UK (IMI)
Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group, memberitahu, dalam konteks TVET, tanpa kerjasama PPP itu, ia bukan sahaja akan memberi bebanan kewangan kepada satu-satu pihak malah akan mewujudkan ketidakseimbangan bebanan kepada fasiliti untuk menyediakan tenaga kerja yang relevan kepada pasaran.
"Maka kerjasama yang efektif antara sektor awam dan swasta akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber merentasi kedua-dua sektor ini," jelasnya.
Bercakap mengenai majlis tersebut, Sri Ganes berkata, kerjasama itu bakal memanfaatkan kira-kira 500 pelajar.
Menurutnya, kursus yang disasarkan kepada golongan pekerja dan graduan itu akan diadakan secara jangka pendek dan panjang, bergantung kepada kesesuaian masing-masing.
"Kita menawarkan dua pilihan, iaitu graduan yang masih belum bekerja disarankan untuk mengambil kursus yang ditawarkan tujuh hingga 14 hari (jangka pendek) manakala bagi mereka yang bekerja, kita juga menawarkan kursus berkenaan pada hari minggu," ujarnya.
Mereka yang berminat boleh melayari autotronics.edu.my/kerjayamadani.
#Kementerian Sumber Manusia #TVET #graduan #institusi latihan perindustrian
;