TVET perlu pendekatan baharu dan ilmu tambahan

Bernama
Januari 29, 2024 04:00 MYT
Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) mengesa pendekatan baharu dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). - Gambar hiasan/BERNAMA
GEORGE TOWN: Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) menggesa pendekatan baharu dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang membolehkan graduan diberi suntikan ilmu tambahan, dilatih dalam bidang tertentu untuk menyediakan mereka mengikut keperluan dan permintaan pasaran.
Pengerusi Pemikir, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, sehubungan itu Majlis TVET Negara dan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang harus memikirkan pendekatan baharu itu dan kaedah yang sama boleh diguna pakai untuk graduan di negeri lain.
Katanya, ia selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara yang serius mahu memperkasakan pengajaran TVET dalam negara.
"Menyedari hakikat itu, Pemikir berpandangan dalam konteks Pulau Pinang, pihak Majlis TVET Negara dan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang harus memikirkan pendekatan baharu dan ia seiring dengan keseriusan Ahmad Zahid dalam perkara ini yang kami amat hargai," kata beliau.
Muhamad Farid yang juga Presiden Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang berkata, keseriusan kerajaan negeri diserlahkan dengan menamakan pulau hasil tambakan sebagai Pulau Silikon di samping dengan pembinaan kilang-kilang baharu di kawasan perindustrian Batu Kawan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk melihat kembali penglibatan orang-orang Melayu sebelum terlambat.
Sementara itu, katanya, graduan bumiputera lepasan universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik, mekatronik dan sealiran dengannya sukar mendapat pekerjaan melainkan jika mereka dari lima universiti utama dengan nilai gred kumulatif (CGPA) melebihi 3.5.
"Latihan amali boleh dilanjutkan sehingga enam bulan berbanding tiga bulan sebelum ini dan kaedah yang sama boleh diguna pakai bagi graduan di negeri lain juga," katanya. - BERNAMA
#TVET #Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional #Muhamad Farid Saad #Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang
;