TVET mampu lonjak produk PMKS ke pasaran global - Penganalisis

Khalis Khadir
Oktober 23, 2024 04:30 MYT
Langkah sedemikian secara dasarnya mampu menarik pelaburan sekiranya diadaptasi dengan cara yang tepat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengusaha Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu bekerjasama dengan pemain industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menghasilkan produk berkualiti.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah berkenaan bukan perkara yang asing di negara-negara maju.
“Sekiranya kita mahu PMKS Malaysia maju dengan kemahiran yang tinggi, maka mereka perlukan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pemain industri TVET dan menjalankan koloboratif dengan universiti atau mana-mana akademi.
“Ini penting kerana kepakaran praktikal dimiliki tenaga dalam bidang TVET ini mencambahkan idea kerana TVET bukan hanya melibatkan kimpalan, perakauanan dan sebagainya. Beribu jenis TVET ada dan di sinilah PMKS boleh manfaatkan kepakaran,” katanya ketika ditemu bual dalam Agenda AWANI pada Rabu.
Jelasnya, ia merupakan salah satu alternatif terbaik untuk merancakkan ekonomi negara kerana langkah sedemikian secara dasarnya mampu menarik pelaburan sekiranya diadaptasi dengan cara yang tepat.
Pandangan itu juga senada dengan Presiden Persatuan SME Malaysia, Chin Chee Seong yang berpendapat, produk PMKS mampu ke pasaran global baharu seperti BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) sekiranya ada perancangan rapi kerajaan.
Saranan Chee Seong adalah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dapat menyenaraikan secara terperinci produk pilihan di negara-negara berkenaan terutama dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman memandangkan sijil halal Malaysia diiktiraf dunia.
“Cadangan lain yang saya fikir membantu industri PMKS adalah dengan membawa pelajar TVET ini ke negara mahir TVET seperti China kerana kita perlu akui, kita kekurangan bakat tempatan.
“Maka, banyak kita lihat sudah ada pelajar-pelajar ini dihantar ke China untuk dapatkan pengalaman praktikal dalam jangka masa pendek. Mereka kerja dalam syarikat besar di sana dan itu membekalkan kemahiran tinggi untuk dibawa pulang dan memanfaatkannya di Malaysia,” ujarnya.
#PMKS #TVET #China #BRICS
;