TVET mampu lonjak Malaysia setaraf Jerman
Firdaus Azil
Disember 19, 2017 09:39 MYT
Disember 19, 2017 09:39 MYT
Inisiatif kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk memperkasakan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai usaha lahirkan modal insan berkemahiran tinggi, mampu melonjak negara ke tahap seterusnya dan selari dengan negara maju seperti Jerman, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, negara ini amat memerlukan pekerja tempatan berkemahiran tinggi demi menjayakan projek-projek berskala besar seperti Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan High Speed Rail.
“Di negara maju, mereka mempunyai bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal yang tinggi. Jerman misalnya, mempunyai 81 peratus tenaga kerja mahir dan daripada jumlah itu, 63 peratus adalah lulusan daripada sistem kolej vokasional, dan hanya 18 peratus lulusan universiti.
“Akibatnya, Jerman muncul sebagai negara kaya dan maju kerana sistem TVET ini menjadikan pekerjanya berkemahiran tinggi,” kata Salleh melalui catatan terbaharu di blognya hari ini.
Salleh berkata, bagi memperkasakan rakyat supaya mempunyai pendapatan tinggi, kerajaan telah menggariskan beberapa lonjakan transformasi TVET, antaranya -- melatih dan meningkatkan tenaga mahir tempatan supaya berdaya saing hingga ke peringkat global, dan memperkukuhkan lagi kerjasama strategik antara TVET awam serta pihak industri.
Selain itu, katanya lagi, bagi mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai lulusan dalam bidang TVETkerjaaan turut melaksanakan geran padanan dengan memperuntukkan RM4.9 bilion dalam Bajet 2018 bagi tujuan ini, dan menjenamakan semula institusi TVET menjadi ‘TVET Malaysia’ untuk menarik rakyat menerima TVET sebagai pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan.
“Inisiatif yang dibawa oleh kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bidang TVET ini jelas mampu memperkasakan rakyat dan membawa Malaysia maju ke hadapan.
“Jadi, marilah kita semua bersatu hati menjulang TVET Malaysia sehingga ke puncak kejayaan bagi merealisasikan aspirasi TN50,” katanya.
#Bajet 2018
#Barisan Nasional
#Jerman
#Malaysia
#MRT
#Najib Razak
#Pembangunan Modal Insan
#pendidikan
#Salleh Said Keruak
#TN50
#Transformasi Nasional 2050
#TVET