TVET laluan baharu ke arah pertumbuhan ekonomi

Bernama
Julai 23, 2023 16:59 MYT
Individu yang mempunyai kemahiran teknikal, berupaya mengharungi kemajuan teknologi yang sedang dihadapi dunia yang banyak menyokong keperluan hari ini.
KUALA LUMPUR: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan landasan baharu ke arah pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan kemahiran teknikal di samping menarik lebih banyak kerjasama multinasional dengan menawarkan peluang kerjaya kepada lepasan program itu.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, individu yang mempunyai kemahiran teknikal, berupaya mengharungi kemajuan teknologi yang sedang dihadapi dunia yang banyak menyokong keperluan hari ini.
"Ketika kita maju ke masa hadapan, cara kerja atau sistem tradisional tidak dapat bersaing dengan pendigitalan global. Jadi bagi manusia atau sesebuah negara, perlu bergantung kepada semua jenis juruteknik dan jurutera untuk mengharungi arus permodenan agar selari dengan keperluan semasa.
"Malaysia juga perlu meningkatkan kemahiran teknikalnya jika mahu mengurus dan menyumbang kepada kemajuan ini. Pendigitalan, instrumentasi dan semua jenis automasi akan menguasai (keperluan) masa depan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Katanya usaha kerajaan yang menyasarkan untuk menaikkan gaji minimum lepasan TVET merupakan satu langkah untuk menarik lebih ramai pelajar mengikuti kursus teknikal dan melayakkan diri lebih jauh menerusi kelayakan kemahiran yang akan menjadikan gaji dan faedah berbeza berdasarkan tahap yang dimiliki mereka.
Beliau turut mencadangkan kursus-kursus tersebut menggunakan kedua-dua pembelajaran teori dan keterikatan industri, yang boleh meningkatkan mod komunikasi di dalam kelas agar ia lebih interaktif dan menarik berbanding pengajaran sehala, sekali gus dapat menarik pelajar ke program tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran Mohammad Rizan Hassan berkata pembayaran gaji haruslah setimpal dengan kemahiran yang dimiliki pekerja selain ia memenuhi kehendak industri.
"Sekiranya lepasan program TVET mempunyai kemahiran yang tinggi, industri tidak mempunyai halangan untuk menawarkan gaji yang setaraf dengan kelayakan yang dimiliki," katanya.
Beliau berkata antara faktor yang menyumbangkan kepada ketidaksepadan kemahiran adalah fasiliti institut latihan dan industri yang berkemungkinan menggunakan teknologi yang berbeza.
"Melahirkan siswazah yang ada 100 peratus kemahiran industri memang tidak akan tercapai kerana perubahan teknologi yang pesat. Tetapi kalau dapat melahirkan tenaga kerja yang mempunyai 70 peratus set kemahiran dan kecekapan tersebut diakui oleh pihak industri, maka ia sudah mencukupi untuk mencapai standard gaji industri," katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Julai lepas berkata kementerian itu berhasrat menaikkan gaji minimum lepasan TVET daripada RM1,500 kepada RM2,000 bagi memastikan tenaga kerja yang kompeten seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
-- BERNAMA
#TVET #pertumbuhan ekonomi #teknologi #kemahiran #Syed Hussain Syed Husman
;