TVET JELITA sasar penyertaan 150,000 wanita menjelang 2026 - Ahmad Zahid
Bernama
Ogos 4, 2023 09:00 MYT
Ogos 4, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk menarik penyertaan 150,000 peserta dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk wanita dikenali sebagai JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) menjelang 2026.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun program berkenaan sebelum ini menyasarkan 15,000 peserta, sehingga kini program itu sudah menerima 7,000 permohonan dengan 10 bidang kemahiran ditawarkan.
"Permintaan kepada guna tenaga wanita berkemahiran sangat tinggi, namun mereka tidak dapat latihan mengikut bidang yang menjadi permintaan oleh pihak industri.
"Program JELITA adalah platform game-changer yang didedikasikan khas untuk memperkasakan golongan wanita di negara ini melalui pendidikan dan latihan kemahiran," kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada pelancaran program itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam.
Program diterajui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu menawarkan bidang latihan seperti teknologi maklumat, teknologi kejuruteraan, kecantikan dan fesyen serta pengangkutan dan logistik.
Ahmad Zahid berkata program JELITA tidak hanya berhenti pada penyampaian latihan tetapi juga bertujuan menyediakan sokongan selepas latihan.
"Program ini juga telah menstrukturkan latihan dalam bentuk kepemimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah yang sangat penting dalam tenaga kerja global hari ini.
"Aspek unik program JELITA ini adalah komitmen terhadap inklusiviti yang telah mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada pelbagai rakan industri," katanya.
Di bawah RISDA, beliau berkata Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) telah berkolaborasi dengan 12 rakan strategik untuk memberikan kemudahan dan latihan serta kemahiran intensif kepada pelajar.
Selain itu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula menjalin kerjasama dengan 11 rakan strategik dan 58 rakan industri yang menjanjikan 1,000 penempatan kerja untuk bakal graduan.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata usaha memperkasa TVET perlu diperhebat dengan menggabungkan semua kolej di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk bersama-sama memberi fokus kepada pembangunan latihan.
Katanya ia termasuk dari pihak UCAM yang boleh menerajui usaha penggabungan itu dan seterusnya dapat dijenamakan sebagai Kolej Universiti TVET Malaysia.
Turut hadir Pengerusi RISDA Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
-- BERNAMA