TVET: Jangan tersekat dengan kelayakan akademik, majikan mahu pekerja mahir – Belia

Irfan Faruqi
Mac 7, 2025 21:00 MYT
Wakil belia yang ditemui Astro AWANI berkata TVET wajar diteroka memandangkan majikan mahu menggajikan pekerja-pekerja mahir. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak wajar menyempitkan ruang pendidikan dan perancangan masa depan berasaskan kepada kelayakan akademik semata-mata.

Ringkasan AI
  • Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai Alternatif: TVET perlu diteroka kerana majikan lebih cenderung menggajikan pekerja mahir yang mempunyai kemahiran teknikal, bukan hanya kelayakan akademik.
  • Penerimaan Pembelajaran Berasaskan Kemahiran: Masyarakat perlu lebih terbuka terhadap pembelajaran berasaskan kemahiran dan tidak terlalu fokus kepada pendidikan konvensional.
  • Peningkatan Produktiviti melalui TVET dan Teknologi: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa peningkatan produktiviti boleh dicapai melalui program menambah kemahiran seperti TVET, penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI), dan kewujudan pusat kecemerlangan.

Wakil belia yang ditemui Astro AWANI berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) wajar diteroka memandangkan majikan mahu menggajikan pekerja-pekerja mahir.
Penyelaras TVET, Nur Ellena Mohamed Razif berkata masyarakat perlu lebih terbuka untuk menerima pembelajaran berasaskan kemahiran dan tidak terlalu fokus kepada aliran pendidikan konvensional.
“Saya fikir dengan kemajuan teknologi dan industri serta konteks semasa yang menyaksikan pembangunan sangat pesat. Maka pola fikir juga perlu berubah daripada terlalu tertumpu kepada akademik kepada pola fikir lebih terbuka untuk kita terima pembelajaran melibatkan kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.
Dalam temu bual yang sama, Duta Perpaduan Kerajaan dan pengamal undang-undang, Lim San Shien pula, membangkitkan perihal majikan hari ini lebih cenderung mengupah pekerja dengan kemahiran teknikal.
"Orang kata TVET ialah pilihan kedua. Tetapi sebenarnya majikan lebih cenderung untuk mengupah seseorang dengan pengalaman TVET dan bekerja.
“(Individu) Yang bukan sahaja ada kefahaman teori ilmu, bahkan mampu menterjemahkan ilmu tersebut kepada aplikasi bagi menjalankan kerja yang rumit.
“Itu manusia yang kita perlukan dan pekerja yang kita mahukan. Orang mungkin pandang (graduan TVET) sebagai kelas kedua. Mungkin mereka belum mendalami TVET iaitu kemahiran dan kepakaran manusia yang bukan sekadar membaiki barangan rosak,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada Selasa, peningkatan produktiviti boleh dicapai menerusi program menambah kemahiran seperti TVET, penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kewujudan pusat kecemerlangan.
Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata langkah ini bagi memastikan individu memperoleh lonjakan pendapatan seiring dengan peningkatan produktiviti.
#Anwar Ibrahim #Belia #TVET #kecerdasan buatan #pendidikan
;