TVET jadi 'game changer' kerajaan lahir tenaga mahir - Dr Mahathir
Wan Syamsul Amly
Julai 9, 2019 14:00 MYT
Julai 9, 2019 14:00 MYT
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi pemacu utama atau ‘game changer’ dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia secara langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing sekali gus meningkatkan keupayaan belia Malaysia.
Jelasnya, ia memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi oleh warga kerja tempatan.
"Ini juga secara langsung akan mengubah pasaran buruh negara di mana menjadi keutamaan Kerajaan ialah untuk memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji yang tinggi
dapat diwujudkan.
"Ini bersesuaian dengan usaha-usaha kita untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini," katanya semasa merasmikan Persidangan TVET 2019 di sini, pada Selasa.
Persidangan itu melibatkan penyertaan 500 peserta dalam kalangan tenaga pengajar institusi latihan kemahiran awam dan swasta, pensyarah akademik dan pihak industri.
Objektif program itu adalah sebagai platform kepada pembuat polisi untuk mendapatkan input daripada industri dan agensi TVET bagi membangunkan Rancangan Malaysia Ke-12, mencetuskan kesediaan di kalangan pihak berkepentingan mengenai Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Ia termasuk kesan terhadap ekosistem TVET, menyebar luas maklumat dan hasil daripada program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi meningkatkan pengetahuan kakitangan latihan teknikal tentang perkembangan dan teknologi terkini di industri serta cabaran masa kini.
Selain itu ia turut menyediakan platform kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ia turut membuka ruang jalinan kerjasama industri bagi mengukuhkan pelaksanaan TVET negara mengenai teknologi terkini dan merapatkan jurang pengetahuan serta kemahiran di antara kakitangan latihan teknikal dengan pihak industri dalam teknologi terkini bagi menyiapkan diri untuk mengharungi arus globalisasi IR 4.0
Dalam pada itu, Dr Mahathir menjelaskan pasaran kerja pada masa hadapan akan dipenuhi dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran yang kritis.
"Deskripsi dan skop pekerjaan dan pada masa akan datang akan mengalami perubahan yang signifikan.
"Future workers perlu memastikan mereka sentiasa melengkapkan diri mereka dengan kemahiran terkini (skill set) berdasarkan kepada keperluan industri masa hadapan," jelasnya.
Katanya, pemain-pemain utama TVET dan industri disarankan untuk memanfaatkan Industri Forward dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing masing-masing dengan bersedia mengharungi cabaran baharu itu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir.
#industri berteknologi tinggi
#kemahiran tinggi
#Mahathir Mohamad
#pemacu utama
#Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional
#Persidangan TVET
#tenaga mahir tempatan
#TVET
#warga kerja tempatan