TVET, IPT terus mendapat perhatian dalam Belanjawan 2019

Bernama
November 2, 2018 18:50 MYT
Kerajaan akan memperkenalkan Dana Wibawa Pendidikan TVET tahun hadapan dengan peruntukan RM30 juta bagi menggalakkan daya saing institusi latihan. - Gambar hiasan
Kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta aktiviti penyelidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata untuk itu, kerajaan akan memperkenalkan Dana Wibawa Pendidikan TVET tahun hadapan dengan peruntukan RM30 juta bagi menggalakkan institusi latihan bersaing untuk menawarkan program latihan yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri dengan jaminan pekerjaan kepada graduan.
"Di samping itu, peruntukan RM20 juta juga disediakan bagi meningkatkan kompetensi belia melalui Program Bootcamp berkaitan TVET," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Lim berkata sebanyak RM400 juta akan diperuntukkan untuk memperkasa aktiviti penyelidikan di IPT.
Katanya peruntukan ini termasuk geran padanan bernilai RM30 juta bagi Program Malaysia Partnership and Alliances in Research (MyPAIR) yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara IPT dengan industri tempatan serta agensi antarabangsa dalam bidang strategik.
LIM-BELANJAWAN 2019 (TVET) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan juga akan meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran oleh pelbagai agensi seperti MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kesihatan.
Lim berkata sebanyak RM3.8 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan itu, di mana RM2 bilion adalah dikhususkan kepada pelajar Bumiputera tajaan MARA.
Menteri Kewangan berkata sebanyak RM210 juta juga akan diperuntukkan bagi memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan Bumiputera yang dilaksanakan melalui Program Peneraju Tunas, Program Peneraju Skil dan Program Peneraju Profesional.
Program-program tersebut akan dikendalikan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2019 #belanjawan2019 #IPT #pendidikan #pengajian tinggi #rakyat Malaysia #TVET
;