TVET fokus utama sambutan Hari Kemahiran Belia Sedunia - Reezal Merican
Fauzi Suhaimi
Julai 15, 2020 15:08 MYT
Julai 15, 2020 15:08 MYT
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara fokus utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha memartabatkan golongan belia sempena dengan sambutan Hari Kemahiran Belia Sedunia hari ini.
Menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, fokus itu secara tidak langsung mampu menyediakan peluang kepada golongan berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran termasuk reskilling, upskilling dan cross-skilling bagi tujuan pasaran pekerjaan.
Beliau berkata, ia amat bertepatan dengan situasi semasa yang mencabar serta memberi impak langsung kepada belia khususnya berkaitan peluang pekerjaan dan kadar pengangguran.
"Tanggal 15 Julai setiap tahun, sejak 2014 disambut sebagai Hari Kemahiran Belia Sedunia atau World Youth Skills Day dan pada tahun ini, ia disambut dalam suasana pasca pandemik COVID-19 dengan tema 'Skills For A Resilient Youth'
"Sambutan ini memberi fokus terhadap TVET dan peluang kepada belia agar dilengkapi dengan pelbagai kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan selain diberi pekerjaan yang wajar serta boleh terlibat dalam keusahawanan," katanya menerusi akaun Twitter miliknya di sini pada Rabu.
Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, keutamaan sambutan itu turut memberi penekanan terhadap kumpulan belia yang merupakan salah satu keutamaan KBS dalam segmen 'Belia Resah' pasca COVID-19.
Jelasnya, ini termasuk belia yang tidak berada dalam pendidikan, latihan dan pekerjaan (NEET).
"Alhamdulillah, saranan intervensi awal KBS berkaitan NEET ini, khususnya untuk 'real live data' telah diambil kira melalui Banci 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia selain turut menjadi agenda dalam perbincangan Kolaborasi Rentas Kementerian bersama Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Kepada belia, langkah sedang diambil agar akses terhadap peluang kemahiran sampai kepada anda.
"Kerajaan menerusi tujuh kementerian berkaitan TVET memberi penekanan terbaik mengenai kemahiran yang menjadi wadah kemandirian belia untuk bersaing dan berdaya tahan dalam dunia global yang mencabar," katanya.
#2014
#agenda
#Kementerian Belia dan Sukan
#Kementerian Pendidikan
#kerajaan
#koronavirus
#Malaysia
#pendidikan
#Reezal
#Reezal Merican Naina Merican
#sukan
#Twitter