TVET dalam pertanian penting, jamin keterjaminan makanan - Mohamad Sabu

Bernama
Mac 2, 2024 16:56 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berucap merasmikan Ekspo Pakar Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. - Foto Bernama
SERDANG: Kerajaan akan memperkasakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian dengan melahirkan lebih ramai siswazah bagi memastikan keterjaminan dan keselamatan makanan negara pada masa hadapan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketika ini hanya terdapat kira-kira 600 lepasan universiti dalam bidang pertanian setiap tahun.
Katanya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan lebih ramai mahasiswa bukan sahaja mengikuti kursus pengajian dalam bidang pertanian, malah mata pelajaran lain untuk menceburi bidang tersebut selepas tamat pengajian kelak.
"Kita tidak bergerak secara silo dan telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berhubung langkah untuk menggalakkan penyertaan dan melahirkan lebih ramai lepasan universiti dalam bidang ini.
"Bagaimanapun kita akur sekarang ini ramai anak muda lebih berminat dalam ekonomi gig kerana pendapatan lebih cepat tetapi ini antara usaha untuk memupuk industri pertanian dan makanan di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pakar Pertanian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai hala tuju KPKM pada tahun ini, Mohamad berkata empat pembangunan industri ditekankan iaitu padi dan beras, ayam, itik dan telur, bawang merah dan nanas.
Bagi inisiatif gelombang padi yang digerakkan bermula tahun ini, beliau menyasarkan kadar sara diri (SSR) beras negara akan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap eksport menjelang 10 tahun akan datang.
Selain itu, katanya pemerkasaan penanaman padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak juga akan dilaksanakan dengan menyediakan peruntukan bagi pembekalan input pertanian.
Sementara itu, Mohamad berkata KPKM juga akan bekerjasama dengan negara Iran dalam penyelidikan dan perkongsian teknologi pembiakan baka ayam Arian yang berpotensi untuk memenuhi permintaan bekalan ayam.
Ekspo Pakar Pertanian edisi kedua itu diadakan selama tiga hari bermula semalam menjadi platform yang didedikasi untuk keseluruhan kemampanan ekosistem bekalan makanan, mengetengahkan inovasi, amalan dan teknologi dalam sektor pertanian.
-- BERNAMA
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #TVET #pertanian #Mohamad Sabu #siswazah
;