TVET berperanan besar kepada pembangunan negara - Zambry

Bernama
Jun 5, 2024 04:20 MYT
Bagi memastikan tenaga kerja yang dilahirkan memenuhi kehendak dari segi kemahiran di pasaran, Zambry berkata perlu wujud satu kesalinghubungan di antara pihak kerajaan, institusi pendidikan dan juga industri. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai peranan yang sangat besar kepada pembangunan negara selain menyediakan tenaga kerja dalam pelbagai sektor yang diperlukan hari ini.

Ringkasan AI
  • Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) penting dalam pembangunan negara dan menyediakan tenaga kerja untuk pelbagai sektor.
  • Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada TVET selain daripada pendidikan akademik, seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Jerman, dan China.
  • Untuk memastikan kesesuaian tenaga kerja dengan pasaran, perlu wujud kesalinghubungan antara kerajaan, institusi pendidikan, dan industri dalam ekosistem pendidikan. Dasar TVET Negara 2030 dijangka memberikan dimensi baharu kepada pendidikan negara.

Justeru itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata adalah mustahak untuk dasar-dasar yang dilaksana oleh kerajaan memberi tumpuan khusus kepada kepentingan TVET.
"Penekanan yang diberikan kerajaan sebelum ini, universiti adalah segala-galanya yang akan diberikan peluang pekerjaan... kalau kita lihat secara perbandingan di negara-negara maju seperti Jepun, Jerman dan China bagaimana penekanan diberikan dalam bidang teknikal ini yang sama pentingnya dengan pengajian di peringkat kampus.
"Jadi kedua-dua (bidang teknikal dan akademik) ini perlu diberi perimbangan supaya kita dapat melahirkan tenaga kerja yang diperlukan oleh negara makanya kerajaan telah memberikan tumpuan melihat semula ke dalam sistem pendidikan kita supaya kita dapat mewujudkan perimbangan ini dan keperluan tenaga kerja negara yang diperlukan ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'Digitalisasi TVET Lahirkan Graduan Berkemahiran Tinggi' terbitan Bernama TV malam tadi.
Bagi memastikan tenaga kerja yang dilahirkan memenuhi kehendak dari segi kemahiran di pasaran, Zambry berkata perlu wujud satu kesalinghubungan di antara pihak kerajaan, institusi pendidikan dan juga industri.
"... ekosistem dalam pendidikan itu sangat penting, ia bukan berteraskan kepada teori semata-mata. Dalam konteks ini, hubungan di antara universiti, industri dan kerajaan. Kita tahu dasar kerajaan dari segi industri termasuklah dasar-dasar baharu.
"Lantaran itu, kita lihat dasar-dasar kerajaan yang berkaitan bidang baharu yang memerlukan penglibatan tenaga kerja dan juga perancangan kita melahirkan tenaga kerja yang ada kaitan dengannya. Sebab itulah hubungan di antara industri, universiti dan kerajaan sangat penting dalam kita melahirkan tenaga kerja yang diperlukan di pasaran," katanya.
Beliau juga berkata Dasar TVET Negara 2030 yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu ini dijangka memberikan satu dimensi baharu kepada pendidikan negara.
"Peluang untuk belajar bukan lagi tertakluk kepada universiti ataupun kolej. Kita percaya dari segi kemahiran dan kepandaian, manusia berbeza... ada yang mempunyai kehebatan dalam bidang kemahiran yang tidak dimiliki oleh seseorang pelajar yang handal menjawab peperiksaan.
"Kita perlu melihat kedua-dua aspek ini mempunyai kepandaian dan kebijakan yang sama tetapi mengikut bidang masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
#TVET #bidang kemahiran #tenaga kerja #peringkat kampus
;