TVET agenda utama Kerajaan Perpaduan - AUTeM
Ts Zulfadhli Idrus
Januari 26, 2023 13:12 MYT
Januari 26, 2023 13:12 MYT
"PENDIDIKAN adalah senjata paling ampuh untuk mengubah dunia".
Itu kata-kata tokoh dunia tersohor Nelson Mandela yang semakin menzahirkan kebenarannya. Manakan tidak, pendidikan itu sendiri lambang ketamadunan sesuatu bangsa atau negara.
Maka tidak hairanlah saban tahun, negara kita juga meletakkan sasaran belanjawan yang cukup besar dalam sektor pendidikan.
Dasawarsa kini, Pendidikan TVET dilihat menjadi agenda utama di peringkat global.
Dunia sedang menghadapi perubahan automasi dan digitalisasi yang mana TVET ini adalah kunci kepada perlumbaan pendidikan ini.
Kerajaan pada hari ini sememangnya amat memberikan penekanan kepada golongan pelajar terutama kepada pelajar yang menceburi alam kemahiran.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seharusnya diberikan fokus dalam hala tuju pekerjaan terutama dari segi penglibatan dalam pekerjaan sosiologi industri.
TVET juga dilihat sebagai sebahagian daripada elemen dalam sistem pembelajaran yang berasaskan kepada latihan pekerjaan yang berterusan dan pembangunan profesional dalam menuju kepada suatu tingkat kelayakan yang lebih tinggi.
Setiap tahun, perbelanjaan bajet terhadap penumpuan pemerkasaan TVET sering kali menunjukkan peruntukan yang semakin meningkat dari jutaan ringgit sehingga ke bilion bagi membolehkan kerajaan menggerakkan langkah yang lebih proaktif pada masa akan datang.
Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), mantan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah menerangkan bahawa sektor Pendidikan TVET akan terus diberikan perhatian sepenuhnya serta diperkasakan melalui pelbagai alternatif dan inisiatif dalam memperhebatkan agenda berkenaan.
Dalam Bajet 2022 yang telah dibentangkan pada tahun lalu menekankan peruntukan perbelanjaan bagi memperkasakan TVET adalah sebanyak RM6.6 bilion untuk memenuhi permintaan pekerja keperluan industri.
Melalui sumber Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Azlan Mohammad Husain menyatakan bahawa peruntukan bajet bagi TVET pada tahun itu merupakan perbelanjaan yang terbesar diberikan dalam pembangunan TVET di Malaysia.
Beliau juga menyatakan bahawa peruntukan tersebut adalah bagi memberikan satu pemangkin dalam membangunkan bakat kemahiran dalam keperluan ekonomi serta mampu menyediakan peluang pekerjaan yang tinggi kepada golongan muda pada hari ini.
Peruntukan bajet yang begitu besar pada kali ini sememangnya akan memberikan peluang kepada rakyat Malaysia dalam mendapatkan akses peluang latihan kemahiran yang luas dan seterusnya mampu mendapat peluang pekerjaan dan menjana pendapatan sendiri.
Secara amnya, pemerkasaan TVET dapat didefinisikan sebagai maksud yang tegar dan ‘fragmented’ dan tidak terlalu terikat dengan ‘technicalness’, atau ‘technologicalness’.
Pemerkasaannya adalah tertumpu kepada aspek industri, governan dan penjanaan imej yang lebih produktif dan sistematik.
Pada masa yang sama, KPT juga turut berperanan dalam memberikan pendedahan kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam berkenaan dengan TVET.
Walaupun TVET tidak mempunyai institusi kemahiran yang berada hampir kesemua Universiti Awam, namun persamaannya adalah dari segi pembelajaran dalam bidang-bidang yang tertentu yang melibatkan kepada kemahiran TVET di IPTA.
Pelajar-pelajar yang sudah tamat pengajian TVET berupaya untuk melanjutkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari universiti yang terpilih.
Rasionalisasi skim perkhidmatan dalam kerajaan juga memberi ruang dan peluang kepada mereka yang berkelayakan SKM diiktiraf sebagai setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan membolehkan pemegang sijil SKM mejawat jawatan kerajaan.
Antara contoh yang dapat dilihat dari segi bidang teknologi kejuruteraan atau bidang pendidikan teknik dan vokasional di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Pada masa yang sama juga, IPTA juga mempunyai kursus dalam latihan industri kepada pelajar IPTA.
Latihan Industri merupakan satu kursus yang berperanan dalam melatih pelajar ke alam pekerjaan selepas tamat sahaja bidang pengajian mereka.
Sejajar dengan TVET, latihan industri IPTA yang mempunyai persamaan dengan bidang tertentu akan ada satu kaitan dengan TVET ketika mereka berada dalam situasi latihan berkenaan.
Melalui sistem kerjasama ini, laluan pendidikan graduan TVET diberikan pengukuhan dengan mod fleksibiliti mengikut tahap kemajuan dan kompetensi lulusan TVET.
Pada waktu yang sama, latihan industri yang dibuat oleh pelajar IPTA dapat dilakukan dengan lebih fleksibelilti melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
SLDN adalah bertujuan dalam membentuk pelajar TVET dan juga pelajar yang terlibat dalam latihan industri tentang pengetahuan dan kemahiran praktikal yang selari dalam amalan industri.
Pelaksanaan ini sangat signifikan dalam mewujudkan tenaga pakar baharu yang selari dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bagi penyediaan tenaga berkemahiran lebih tinggi.
Keberkesanan SLDN dalam usaha meningkatkan penglibatan pelajar TVET dan pelajar latihan industri secara aktif bakal membuka peluang pekerjaan yang tinggi dan cerah kerana kemahiran yang diperlukan di Malaysia kekal relevan dengan kemajuan industri dan ekonomi global.
Terbaharu dalam RMK-12 terdapat penambahbaikan dan menaik taraf fasiliti makmal dan institusi TVET kepada Institution-Industry Lab (IIL) yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi penggunaan teknologi, maklumat dan juga kemahiran.
Selain itu juga terdapat satu penubuhan yang lain dibuat bagi membantu memperkasakan lagi TVET iaitu MyRIVET.
MyRIVET merupakan satu institusi yang dilakukan terhadap penyelidikan TVET yang bebas pada peringkat nasional dan bertanggungjawab dalam penyelidikan, latihan, dan khidmat nasihat.
MyRIVET juga mempunyai peranan dalam pengumpulan maklumat, analisis serta pengurusan data yang melibatkan polisi dan dasar dalam bidang TVET. Keadaan ini bakal memberikan faedah kepada kedua-dua agensi kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam konteks ini, pelbagai kerjasama dilaksanakan seperti pertandingan reka cipta dan inovasi produk berkaitan dengan keperluan industri yang boleh membantu kreativiti pelajar IPT dan TVET terbabit dalam R&D.
Selama ini sektor industri hanya menyokong usaha kebolehpasaran graduan melalui temu duga terbuka dalam kampus yang sepatutnya pada masa kini dipergiatkan di kolej kemahiran dan kolej yang berskala kecil.
Pegawai utama industri atau TVET juga harus proaktif memberikan sedikit informasi dan penerangan kepada pelajar di universiti tanpa perlu menunggu jemputan rasmi atau lantikan sebagai orang atasan dan ceramah umum.
Industri disaran memberikan lebih banyak biasiswa kepada pelajar kerana selama ini hanya syarikat besar menawarkan biasiswa.
Selain biasiswa, hadiah kepada pelajar cemerlang boleh diberikan oleh pihak industri.
Dari sudut keusahawanan, industri dan juga TVET boleh menjemput pelajar IPT untuk menglibatkan diri dalam perniagaan supaya dapat memahami kaedah pemasaran sebenar.
Dalam menongkah arus perubahan masa kini, universiti dan industri perlu berganding bahu dalam merealisasikan hasrat murni Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran graduan.
Kerangka kerjasama baharu IPT dan TVET ini akan dapat mempertingkatkan secara signifikan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kebergantungan graduan kepada sektor awam.
Umumnya, Pendidikan TVET acapkali dipandang enteng memandangkan stigma pendidikan berkonsep ilmiah adalah lebih penting berbanding kemahiran.
Tidak dinafikan golongan intelektual ini juga penting untuk negara tetapi negara juga perlu melahirkan
golongan-golongan teknologis bagi memenuhi kehendak industri tempatan.
Negara saling memerlu kedua-dua golongan ini. Bak kata pepatah, yang lama dikelek, yang baharu didukung.
Demi mendukung agenda pemerkasaan TVET, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengorak langkah dengan menubuhkan dua fakulti khusus untuk Pendidikan TVET iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik.
Dengan adanya fakulti-fakulti ini, stigma-stigma negatif terhadap Pendidikan TVET sedikit sebanyak akan berkurangan dan seterusnya dapat diterima masyarakat.
Justeru, Persatuan Alumni UTeM (AUTeM) ingin mengajak orang ramai khususnya golongan pendidik dan pemain industri untuk bersama-sama memperkasa dan mempromosi Pendidikan TVET kepada masyarakat di Malaysia.
*Ts Zulfadhli Idrus ialah Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM)
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.