Tutup taska, tadika biarpun hanya satu kes HFMD - Dr Izani

Bernama
Jun 2, 2022 14:11 MYT
Dr Izani berkata, Tindakan itu sebagai langkah awal bagi mengelak wabak berkenaan daripada terus merebak sekiranya ia tidak dibendung terlebih awal. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mencadangkan kepada pengusaha premis berkaitan kanak-kanak seperti taska, tadika dan pusat jagaan untuk menutup premis berkenaan sekiranya merekodkan satu kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, tindakan itu sebagai langkah awal bagi mengelak wabak berkenaan daripada terus merebak sekiranya ia tidak dibendung terlebih awal.
Katanya, bagaimanapun perkara berkenaan tertakluk kepada penilaian daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk mengarahkan sama ada premis yang mempunyai kes HFMD untuk ditutup atau sebaliknya.
"Jika dilihat, kes HFMD di negeri ini masih tinggi dengan jumlah kumulatif telah mencapai kira-kira 5,200 orang dengan hanya menunjukkan trend plato. Malah, sehingga kini sebanyak 20 taska juga telah ditutup yang mana 15 daripadanya kembali beroperasi seperti sedia kala.
"Kita berharap masyarakat kekal menjaga kebersihan dan segera mendapatkan rawatan di hospital selain menjalani kuarantin kendiri dan tidak dibawa ke pusat asuhan sekiranya anak-anak mereka mempunyai simptom HFMD," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Hospital Baru Kota Bharu Medical Centre (KBMC) di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin, Pengerusi KBMC Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengurus Besar KBMC Mohd Nazri Yaacob.
Bangunan hospital KBMC baharu itu yang akan dibina setinggi 12 tingkat dengan menempatkan kapasiti sebanyak 200 katil menelan belanja bernilai RM250 juta.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan virus cacar monyet atau monkeypox, Dr Izani berkata, kerajaan negeri menasihati masyarakat untuk kekal menjaga kebersihan diri dan persekitaran.
"Penyakit ini adalah penyakit haiwan kepada manusia dan manusia ke manusia, dan penyebarannya adalah melalui kontek yang dijangkiti atau pun melalui udara.
"Pencegahannya juga sama dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal wabak COVID-19 dan penyakit-penyakit virus lain. Maknanya kalau sakit, kena kuarantin kendiri supaya kita tidak jadi penyebar kepada orang lain," katanya.
-- BERNAMA
#HFMD #Kanak-kanak #taska #tadika #Izani Husin
;