Tutup sekolah elak wabak beguk berterusan - KKM

Bernama
Oktober 26, 2018 21:31 MYT
Dr Noor Hisham meminta orang ramai yang mengalami gejala dan tanda-tanda beguk supaya mendapatkan nasihat doktor dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul. - Gambar fail
Penutupan dua sekolah di Selangor berikutan jangkitan wabak beguk antara kaedah mengelakkan jangkitan terus berlaku, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan kawalan dan pencegahan termasuk pengasingan pelajar sejak kejadian kluster beguk itu dilaporkan pada 14 Ogos 2018.
"Semua pelajar yang terlibat dari kedua-dua sekolah ini berada dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan.
"KKM ingin menasihati murid-murid yang mempunyai gejala beguk untuk tidak hadir ke sekolah untuk mengelakkan jangkitan kepada murid-murid lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau meminta orang ramai yang mengalami gejala dan tanda-tanda beguk pula supaya mendapatkan nasihat doktor dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit ini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan dua buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Selangor diarah tutup oleh KKM berikutan jangkitan wabak beguk yang semakin meningkat di sekolah berkenaan.
Notis Perintah Tutup Premis dikeluarkan kepada Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dan SBP Integrasi Gombak di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
--BERNAMA
#beguk #Dr Noor Hisham Abdullah #kebersihan #Kementerian Kesihatan #Ketua Pengarah Kesihatan #KKM #pelajar #SBP #sekolah #sekolah berasrama penuh #stabil #tutup